WARNER Music Malaysia dengan bangganya bakal menganjurkan Festival Muzik OOO 2025 di Heritage Valley, Kuala Lumpur pada 1 Julai depan.
Lebih menarik lagi apabila penganjuran acara muzik itu turut mendapat kerjasama Oppo.
Para peminat boleh menantikan persembahan penuh bertenaga daripada barisan artis paling berpengaruh di Malaysia antaranya Noh Salleh, Masdi, Bunga, Luqman Podolski, Zynakal, TUJU, Naki, emptypage., Iman Troye, FUGŌ, Jo Vynn, Priscilla Abby, dan Steadygang.
Festival itu menyatukan gabungan hebat muzik pop, hip-hop, indie dan rock dalam satu malam yang pasti tidak akan dilupakan.
Bagi Masdi, pastinya mereka teruja untuk melakukan persembahan sementelah konsert ini akan menjadi lokasi ‘panas badan’ sebelum beraksi di konsert sendiri berskala besar tidak lama lagi.

“Sebenarnya ada yang menarik perhatian kami untuk menyertai Festival Muzik OOO 2025! memandangkan barisan penyanyi yang terlibat juga hebat dan mempunyai pengaruh di dalam industri.
“Rugi sekiranya kami tidak turut serta untuk bersama-sama mereka menghiburkan peminat.
“Kami anggap ini merupakan acara ‘panas badan’ sebelum berperang dengan konsert sendiri pada 30 Ogos depan sempena satu dekad penglibatan kami di dalam industri.
“Insya-Allah ada sesuatu yang menarik akan kami umumkan kepada semua peminat yang hadir nanti,” kata Ali mewakili Ceri dan Mawi.
Menariknya, festival ini juga bukan sekadar acara hiburan tetapi menandakan pelancaran rasmi siri baharu OPPO Reno, yang menggabungkan muzik, gaya hidup dan teknologi terkini dalam satu sambutan dinamik.
Bagi Pengarah A&R Warner Music Malaysia, Raqeem Brian, berkata, pihaknya teruja untuk bersama-sama peminat menjayakan festival yang julung-julang kali diadakan bagi menghargai bakat barisan penyanyi yang terlibat.
“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan OPPO dalam menjayakan festival unik ini, yang mengetengahkan bakat luar biasa yang kita miliki di Malaysia.
“Festival Muzik OOO 2025! bukan sekadar konsert, ia adalah satu sambutan budaya yang menyatukan orang ramai melalui muzik, kreativiti dan inovasi,” jelasnya.
Bermula jam 6 petang dan berlangsung sehingga 11:30 malam, bukan sahaja menampilkan muzik bertaraf dunia, malah pelbagai sudut pengalaman menarik termasuk gerai makanan dan minuman serta pameran interaktif jenama-jenama terlibat.
Menambah lagi keterujaan, Oppo baru-baru ini telah bekerjasama dengan Proton e.MAS untuk sebuah siri kandungan digital khas berjudul Roda Karaoke, iaitu video karaoke gaya ‘carpool’ yang menampilkan artis-artis festival seperti Bunga, Masdo, Noh Salleh dan FUGŌ.
Edisi yang menyeronokkan dan menghiburkan ini memberi peluang kepada peminat untuk berinteraksi dengan artis kegemaran mereka sambil menyerlahkan model kenderaan terkini daripada Proton e.MAS.
Para pengunjung juga berpeluang melawat pameran Proton e.MAS di festival tersebut untuk melihat kereta itu secara lebih dekat.
Dengan hanya bayaran RM50, ayuh bersama Masdo dan artis popular yang lain menyemarakkan Festival Music OOO 2025.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

