JABATAN Peguam Negara (AGC) telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah membebas dan melepaskan bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther.
AGC dalam kenyataan memaklumkan, notis rayuan itu telah difailkan hari ini setelah mempertimbangkan keputusan yang dibuat hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tersebut pada Khamis lalu.
“Jabatan ini merujuk kepada keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Jun 2025 yang telah melepaskan dan membebaskan tertuduh, Muhammed Yusoff Rawther tanpa dipanggil membela diri di akhir kes pendakwaan bagi dua pertuduhan.
“Kedua-dua pertuduhan itu adalah di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.
“Setelah mempertimbangkan keputusan Yang Arif Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tersebut, Jabatan ini telah memfailkan Notis Rayuan bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan tersebut pada hari ini,” katanya dalam kenyataan itu.
Khamis lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Muhammed Yusoff Rawther bagi pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan.
Baca artikel lain: Kes Yusoff Rawther: Elak buat kenyataan bersifat spekulatif, fitnah – AGC
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Sebelum ini pada 28 April lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman menutup kes pendakwaaan selepas memanggil 13 saksi sepanjang perbicaraan yang bermula pada 7 April lepas.
Terdahulu, Muhammed Yusoff Rawther, 32, mengaku tidak bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan yang dinaikinya di hadapan surau IPKKL pukul 10.15 pagi, 6 September tahun lalu.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa atas pertuduhan memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara Kuala Lumpur pada 9.25 pagi, hari yang sama mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

