SISTEM Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) disifatkan satu inisiatif strategik Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan berhadapan situasi bencana dan kecemasan.
Inisiatif yang dilancarkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, hari ini itu merupakan sistem komunikasi bersepadu bergerak berasaskan kenderaan yang dilengkapi teknologi satelit, selular, radio dua hala, Wi-Fi dan dron.
Sesuai dengan slogannya iaitu ‘Ketersambungan Tanpa Batasan’, PRIME turut berfungsi sebagai sokongan interim komunikasi, membolehkan operasi menyelamat, pengurusan bantuan dan penyampaian maklumat dijalankan secara berkesan.
Fahmi dalam ucapannya ketika meluncurkan PRIME berkata, inisiatif itu bukan hanya menandakan satu pencapaian penting dalam usaha memperkasa landskap komunikasi negara, malah mencerminkan komitmen bersama dalam memastikan kelangsungan komunikasi dalam apa juga keadaan.

Lebih daripada itu, Fahmi menyifatkan PRIME turut berperanan sebagai pemangkin kerjasama strategik antara MCMC dengan pelbagai agensi termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta pihak berkepentingan lain khususnya ketika berdepan situasi kecemasan atau bencana.
Menurut Fahmi, PRIME berkeupayaan menyediakan ketersambungan komunikasi yang boleh dipercayai dan fleksibel mengikut keperluan operasi di lokasi mencabar.
“Dalam keadaan liputan komunikasi sedia ada yang terganggu atau terbatas, PRIME membolehkan komunikasi kritikal diteruskan bagi tujuan koordinasi penyelamat, pengurusan bantuan serta penyampaian maklumat bersama agensi-agensi yang terlibat.
“Hal ini amat penting untuk memastikan tindak balas yang pantas dan berkesan dapat dilaksana walaupun di kawasan-kawasan terpencil atau liputan sukar.

“Inilah semangat dibawa oleh PRIME, ‘Ketersambungan Tanpa Batasan’ bukan hanya slogan tetapi manifestasi iltizam agar komunikasi kritikal dapat dicapai pada bila-bila masa dalam apa juga keadaan.
“Saya harap keupayaan untuk bertindak secara tangkas, selaras dan bersepadu melalui platform komunikasi seperti PRIME mampu memberi impak yang besar dalam melindungi nyawa dan menyelamatkan harta benda,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran PRIME di Pusat Kecemerlangan (COE) MCMC di Cyberjaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, PRIME telah direka dengan keupayaan untuk menggabungkan lebar jalur daripada sambungan satelit dan rangkaian selular bagi membolehkan capaian internet berkelajuan tinggi yang boleh disediakan dengan lebih stabil serta efisien.

Baca artikel lain: Kerajaan tidak menjejak lokasi individu – MCMC
Beliau berkata, liputan internet itu boleh mencapai sejauh 150 meter di sekeliling kenderaan PRIME dengan sokongan keupayaan Wi-Fi yang berfungsi untuk meluaskan jangkauan apabila perkhidmatan diperlukan.
“Selain itu, PRIME turut dilengkapi dengan sistem radio mudah alih yang membolehkan komunikasi di kawasan yang langsung tiada liputan atau apabila rangkaian terestrial terganggu.
“Bagi memperluas liputan kawasan operasi, PRIME juga menggunakan teknologi Wi-Fi jejaring serta sokongan dron untuk memanjangkan isyarat Wi-Fi.

“Keseluruhan sistem PRIME ini dikuasakan oleh bateri berkapasiti tinggi dan disokong oleh bekalan kuasa utama bagi memastikan operasi yang berterusan tanpa gangguan,” katanya.
Selain peranan dalam pengurusan bencana dan kecemasan, PRIME juga boleh dimanfaatkan bagi menyokong program jangkauan komuniti termasuk Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang berfungsi sebagai hab digital kepada komuniti setempat.
Dengan wujudnya PRIME, NADI dapat beroperasi sebagai pusat digital bergerak yang membolehkan akses internet dibawa terus ke kawasan sasaran komuniti setempat.

Inisiatif tersebut merupakan satu langkah strategik ke arah mewujudkan ekosistem komunikasi yang lebih menyeluruh dan berperanan sebagai pemangkin kepada transformasi digital masyarakat selaras dengan aspirasi negara untuk memastikan tiada golongan masyarakat yang tercicir daripada arus pembangunan.
Sebagai permulaan, sebanyak tiga unit PRIME akan dibangunkan secara berperingkat dengan unit pertama yang diluncurkan hari ini bakal ditempatkan di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya.
Unit pertama PRIME itu akan diberikan pernaan bagi menyokong pelaksanaan operasi di Semenanjung Malaysia manakala dua lagi unit bakal siap menjelang suku keempat tahun ini ditempatkan masing-masing di Pejabat MCMC Sabah dan Sarawak.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

