Rafizi bimbang keputusan rombak, olah semula RMK13 dibuat secara tergesa-gesa

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

BEKAS Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menzahirkan kebimbangan terhadap keputusan Kerajaan MADANI yang mahu mengolah dan merombak semula intipati naskhah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Rafizi berkata, kenyataan untuk merombak semula dan mengolah RMK13 sudah tentu mengundang kebimbangan khususnya dalam kalangan penjawat awam, penganalisis pasaran yang memantau dasar negara dan rakyat keseluruhannya.

Beliau juga mempersoalkan langkah itu kerana dilihat akan dibuat secara tergesa-gesa kerana tiada masa untuk merujuk semula kepada Inter Agency Planning Group (IAPG), Technical Working Group (TWG) dan pakar-pakar.

“Kenapa isu merombak semula draf RMK13 ini timbul di saat akhir sedangkan tiada isu rombakan semula yang dibangkitkan sepanjang saya dan Kementerian Ekonomi membentangkan intipati RMK13 sebelum ini?

“Saya bimbang kerajaan bersikap reaktif hanya kerana ada beberapa ciapan balas kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengenai RMK13 beberapa hari kebelakangan ini.

“Ada netizen yang membincangkan mengenai RMK13 dan membalas ulasan beliau yang dilihat cuba memadamkan terus penglibatan saya dalam penyediaan RMK13,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam kenyataan memaklumkan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah memberi tugas kepada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan untuk mengolah dan merombak semula intipati naskhah RMK13.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, RMK13 adalah dokumen penting untuk negara dan rakyat yang dibangunkan oleh ribuan rakyat dari segenap lapisan masyarakat.

Beliau menegaskan, jika tidak berhati-hati, mengheret RMK13 menjadi polemik politik akan melunturkan keyakinan rakyat kepada dokumen akhir RMK13.

“Jika ini berlaku, ia satu ketidakadilan besar kepada mereka yang bertungkus lumus bekerja berbelas jam sehari sejak setahun lepas,” katanya,

RMK13 dibangunkan sejak September 2024

Dalam pada itu, Rafizi berkata, draf asal RMK13 telah dibangunkan sejak September 2024 yang mana prosesnya adalah panjang dan langsung tidak bersifat politik.

Katanya, RMK13 adalah dokumen dasar yang penting dan menjadi gam yang mengikat dasar, program dan sasaran negara bagi tempoh lima tahun.

Menurut beliau, walaupun kerajaan bertukar ganti, setiap kerajaan yang mengambil alih perlu berpandukan gagasan Rancangan Malaysia kecuali kerajaan itu kembali ke Parlimen untuk meminda RMK yang telah diluluskan Parlimen.

Rafizi berkata, proses penyediaan RMK13 bermula dengan Persidangan Permulaan RMK13 pada 5 September 2024 dan seterusnya, proses bottom up (mendapat maklum balas dan dapatan dari semua pemegang taruh).

Bottom up ini bermula melalui beberapa kaedah seperti IAPG, TWG dan sesi libat urus (SLU). Pada masa yang sama, proses top down iaitu pembangunan dasar utama yang dikira berani dan radikal berjalan serentak melibatkan Kementerian Ekonomi dan pakar-pakar.

“Dasar-dasar ini (yang dikategorikan mengikut bidang) dikenal pasti sebagai pemacu utama reformasi struktur bagi bidang-bidang tersebut,” katanya.

Rafizi memaklumkan, cadangan dasar yang berani dan radikal tidak semestinya diterima oleh kementerian-kementerian.

Katanya, beliau sendiri sebelum ini telah membentangkan beberapa kali kepada Perdana Menteri terlebih dahulu (antara Februari hingga April 2025) dan dibentangkan sebanyak dua kali kepada Jemaah Menteri Khas untuk mencapai kompromi dan kata sepakat.

Jelas Rafizi, semua bukti pembentangan kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri ada di laman Facebook Perdana Menteri sendiri yang sering melaporkan perbincangan mengenai RMK13 dengan Kementerian Ekonomi.

Penyediaan, pembentangan RMK13 ketat

Rafizi menambah, jadual penyediaan dan pembentangan RMK13 adalah ketat serta bakal mencatat sejarah sebagai penyediaan RMK yang terpantas iaitu kurang dari setahun (dari persidangan permulaan hingga pembentangan).

Katanya, sebelum ini, masa yang diambil untuk menyediakan RMK adalah antara setahun setengah ke dua tahun.

Menurut Rafizi, selain jadual masa yang lebih singkat, beliau juga membuat keputusan agar RMK13 dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam tanpa menggunakan perunding luar.

Jelasnya, pandangan itu berasaskan kepakaran dan pemahaman yang ada di kalangan penjawat awam.

“Proses seterusnya ialah percetakan yang memerlukan di antara dua ke tiga minggu. Jika ada rombakan semula, bab-bab penting (termasuk analisis data, angka dan sebagainya) perlu ditulis semula, dalam keadaan Kementerian Ekonomi hanya ada dua minggu sebelum dokumen itu perlu dihantar untuk percetakan akhir (mengambil kira RMK13 dirancang untuk dibentangkan dalam minggu pertama atau kedua Ogos 2025),” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Azam Baki kekal sah anggota Lembaga Penasihat NFCC hingga 2027

PUSAT Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) menegaskan kehadiran Tan Sri Azam Baki pada Mesyuarat Lembaga Penasihat NFCC, 30 Jun...

More Articles Like This