SEBUAH kilang kapas musnah dalam satu kebakaran di Batu 22, Jalan Kundang, Bandar Country Homes, di Rawang, pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, panggilan kecemesan berhubung kejadian diterima pihaknya pada jam 10.14 pagi.
Susulan itu, seramai 23 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang bersama bantuan pasukan dari BBP Bestari Jaya, Sungai Buloh dan Selayang telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
Katanya, pasukan dari BBP Rawang tiba di lokasi kejadian yang terletak kira-kira 6.5 kilometer dari balai, 11 minit selepas panggilan kecemasan diterima.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah kilang jenis kelas A berkeluasan 300 x 200 kaki persegi dengan anggaran 90 peratus struktur bangunan terbakar.
“Anggota menggunakan empat aliran dan tujuh pancutan untuk memadamkan api,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.25 pagi tadi.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

