PEMUDA Pas mendesak kerajaan supaya menangguhkan projek Kota MADANI di Putrajaya dan memberi keutamaan kepada projek-projek yang benar-benar menyentuh kepentingan rakyat.
Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden menegaskan, kerajaan juga perlu membentangkan analisis kos-manfaat secara menyeluruh pembangunan projek Kota MADANI di Parlimen.
Beliau berkata, Pemuda Pas melahirkan rasa dukacita dan kesal terhadap keputusan kerajaan untuk meneruskan projek mega Kota MADANI yang diumumkan bernilai sekitar RM4 bilion.
Katanya, rakyat ketika ini sedang dihimpit dengan tekanan kos sara hidup, kenaikan cukai, pemotongan subsidi dan ketidaktentuan ekonomi global.
“Kami mengingatkan kerajaan bahawa masa depan negara tidak terletak pada simbol-simbol kebanggan Perdana Menteri tetapi pada kesejahteraan rakyat marhaen.
“Dalam keadaan defisit fiskal yang melebar dan hutang negara mencecah RM1.3 trilion, adalah tidak wajar untuk kerajaan menambah komitmen baru melalui mekanisme yang tidak telus dan membebankan generasi akan datang.
“Jika kerajaan terus berdegil, maka jelaslah bahawa agenda sebenar di sebalik Kota MADANI ini bukanlah untuk kemajuan rakyat, tetapi demi memenuhi nafsu politik dan legasi individu tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Afnan Hamimi yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, walaupun angka rasmi yang diuar-uarkan adalah RM4 bilion, namun pelbagai indikator menunjukkan bahawa projek Kota MADANI itu berkemungkinan mencecah RM12 ke RM14 bilion.
Apa yang lebih membimbangkan, kata beliau, adalah penglibatan anak syarikat Petronas, Putrajaya Holdings sebagai pemacu utama projek itu.
Baca artikel lain: Projek Kota MADANI bukan sekadar sedia kediaman, dirancang menyeluruh – PM
Menurut Afnan Hamimi, dalam keadaan keuntungan Petronas merosot, pengurangan tenaga kerja dan tekanan pelaburan dalam sektor ESG, kerajaan sepatutnya melindungi Petronas dan mengelakkan syarikat milik negara itu daripada menjadi ‘ATM politik’.
Beliau berkata, kerajaan perlu menjelaskan kepada rakyat apakah kos sebenar projek Kota MADANI termasuk komitmen tahunan yang perlu ditanggung dalam tempoh 20 ke 25 tahun akan datang.
“Apakah pulangan yang bakal diterima oleh rakyat, terutama golongan muda yang akan mewarisi beban hutang ini?
“Mengapa projek mewah seperti ini diberi keutamaan sedangkan peruntukan untuk pendidikan, kesihatan, keselamatan makanan dan kebajikan rakyat terus dikurangkan?,” katanya.
Khamis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah merasmikan projek pembangunan Kota MADANI di Presint 19, Putrajaya.
Kota MADANI bakal merangkumi 10,000 unit kuarters kediaman berintensiti tinggi yang mampu menampung lebih 30,000 penduduk, sekolah menegak serta pelbagai kemudahan awam.
Pembangunan itu dirangka dengan integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital pintar dan sistem mobiliti hijau.
Kemudahan lain yang dirancang termasuk institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekolah, klinik kesihatan, balai bomba, balai polis, masjid, institusi kewangan serta reka bentuk berunsur budaya tempatan bagi mengekalkan warisan seni bina.
Fasa pertama pembangunan dijangka bermula pada September ini dan siap menjelang akhir 2027.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

