TINDAKAN Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai keputusan yang berjiwa besar dan sangat dihormati.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, segala jasa dan khidmat bakti Muhyiddin selama memimpin PN serta Malaysia sebelum ini tetap dikenang dan diingati.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar memaklumkan, segala pandangan yang pernah diungkapkan sebelum ini juga tidak sedikit pun mengurangkan rasa hormat dan sanjung kepada Muhyiddin.
Afnan Hamimi turut menganggap Muhyiddin sebagai ‘Abah’, iaitu individu yang lebih berusia dan berpengalaman dalam arena politik.
“Menyelamatkan negara daripada wabak COVID-19 dan memulihkannya semula sehingga kita kembali hidup seperti sedia kala hari ini.
“Itu jasa yang amat besar kepada kita semua. Sejarah itu tidak boleh diubah,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Afnan Hamimi turut memohon maaf kepada Muhyiddin sekiranya ada kata-kata yang membuatkan bekas Perdana Menteri itu tidak senang atau tersinggung.
“Tiada langsung isu peribadi, melainkan hanya menyuarakan ketegasan untuk kebaikan kita bersama di dalam sebuah kapal.
“Walau nakhoda kapal berganti, kapal ini mesti terus belayar menempuh ombak dan badai hingga sampai ke destinasi,” katanya.
Baca artikel lain: Azmin ikut jejak Muhyiddin, letak jawatan Setiausaha Agung PN
Terdahulu, Muhyiddin dalam kenyataan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari ini.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua kepemimpinan PN yang telah memberikan sokongan kepadanya sepanjang menjadi Pengerusi PN.
Difahamkan, peletakan jawatan itu terkait kemelut politik di Perlis yang akhirnya membawa kepada pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis dari Bersatu, Abu Bakar Hamzah dilantik sebagai Menteri Besar baharu negeri itu.
Hubungan antara Pas dengan Bersatu dilihat ‘retak menanti belah’ selepas berlakunya kemelut tersebut.
Ia selepas beberapa dakwaan daripada Pas dan Bersatu menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis yang menyatakan mereka tidak lagi menyokong kepemimpinan ADUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar Perlis.
Tiga ADUN dari Pas iaitu Saad Seman (ADUN Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (ADUN Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (ADUN Guar Sanji) kemudiannya telah dihentikan keahlian daripada parti berkenaan.
Mohd Shukri kemudiannya telah meletakkan jawatan atas alasan kesihatan.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin Pas dilihat menyindir dan mengkritik Bersatu selepas pelantikan Menteri Besar baharu itu.
Antara yang mengeluarkan kenyataan secara sinis adalah Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

