“BEZANYA, Pas tidak buat kenyataan media hanya semata-mata nak beritahu ia menerima dan menjawab surat.”
Demikian kata Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Afnan Hamimi memberitahu, surat yang dihantar Pas kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan jawapan balas terhadap surat yang dihantar Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 25 Mei lalu.
Menurut beliau, jawapan balas itu berhubung hubungan antara Bersatu dengan Pas.
“Panjangnya (surat Muhyiddin) 13 muka surat. Isi kandungannya adalah respon balas Bersatu terhadap satu sidang media oleh Presiden Pas (Tan Sri Abdul Hadi Awang) usai kuliah pagi Jumaat di Rusila 22 Mei lalu mengenai hubungan Pas-Bersatu.
“Oleh kerana ada perkara-perkara yang perlu diperjelaskan Pas dengan lebih lanjut dan terperinci, maka Pas menjawab surat itu.
“Panjang surat Pas hanya lapan muka surat sahaja,” katanya dalam hantaran tersebut, hari ini.
Semalam, Pas dilaporkan menghantar surat kepada Bersatu berkenaan hubungan di antara kedua-dua buah parti, selain cadangan-cadangan untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN).
Perkara itu dinyatakan oleh Muhyiddin sambil menambah ia diutuskan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Sebelum ini, Pas menyatakan akan menilai semula kerjasama dengan Bersatu susulan beberapa tindakan parti itu yang dilihat melanggar semangat setia kawan parti komponen PN.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

