Hiap! Hiap! Hiap! Bertukar…

Dari Penulis

Masih ingat lagi tak watak superhero sewaktu kita membesar dulu-dulu?  Ada macam-macam watak superhero. Tidak kiralah kartun ataupun watak superhero dari Jepun atau ‘Mat Salleh’. Siapa watak superhero yang anda minat?

Ambo masih ingat lagi semasa zaman sekolah dahulu, dua superhero yang paling popular waktu itu ialah Gaban dan Satria Baja Hitam. Dua watak ini memang menjadi kegilaan kanak-kanak ketika itu.

Kalau tidak salah Ambo, waktu siaran cerita Gaban bermula pada jam  4.00 petang, habis cerita Gaban, diikuti oleh cerita Satria Baja Hitam pula pada jam 4.30 petang. Selesai menonton televisyen, pukul 5.00 boleh keluar bermain.

Sudah tengok cerita, memang tak sabar hendak pergi sekolah keesokannya  harinya. Sampai sahaja di sekolah, belum sempat letak beg, mulalah riuh bercerita. Bercerita pula bukan sahaja dengan suara, siap dengan gaya sekali.

Hiap! Hiap!

Kalau kena elok, boleh lakonkan semula babak yang dilihat semalam. Ada yang dipaksa jadi raksasa. Kalau badan besar macam Ambo ni memang itulah watak yang selayaknya. Hihihi… Masa tu, pantang silap sikit bergaduh saja dengan kawan-kawan. Semua hendak jadi Gaban dengan Satria Baja Hitam. Kadang kala cikgu pun naik pening.

Kalau kena pukul lepas tu buat-buat jatuh. Tunduk lama. Lepas tu bangun buat muka marah dan terus mengangkat tangan dan buat gaya seolah-olah mahu bertukar menjadi Gaban. Kalau sudah bertukar, habis semua orang diharuknya. Tidak kena mengena pun kena. Maklumlah diri sudah menjadi Gaban.

Satu peristiwa yang Ambo ingat hingga ke hari ini, kalau tidak salah Ambo waktu tu Ambo dalam kelas. Seorang kawan sekelas Ambo bertukar menjadi Gaban. Tengah elok bermain, tiba-tiba cikgu masuk ke dalam kelas. Dia masih lagi dalam karakter menjadi seorang Gaban.

Semasa cikgu tengah mengajar, dia asyik duduk mengganggu kawan-kawan yang lain. Dia tumbuklah, buat gaya Gabanlah, dan macam-macam gaya lagi. Sedang dia buat gaya Gaban, kebetulan cikgu melihat perkara itu. Apa lagi cikgu itu datang dekat lalu mencubit perutnya. Dia terus diam dan menekup mukanya ke meja. Lama dia duduk begitu. Rupanya menangis. Gaban pun menangis. Kah kah kah…

Kenangan teman Ambo yang bernama Kairul juga menarik. Kalau dekat kampung dahulu, memang susah hendak dapatkan isyarat TV. Kadang-kadang dapat, kadang-kadang tidak. Kalau dapat pun jarang sekali dapat isyarat gambar yang cantik.

Sebelum cerita Gaban bermula, Kairul check isyarat dahulu. Tengok isyarat tidak berapa cantik, gambar kelabu malah suara juga berdesir. Rugi kalau dia tidak tengok cerita ini. Akhirnya dia ambil keputusan untuk tengok di rumah kawannya.

“Rumah hang gambar tv cantik tak? Tv rumah aku kelabulah,” kata Kairul.

“Cantik! Tak pa, hang mai tengok kat rumah aku,” balas kawannya.

Kairul bersama beberapa orang lagi kawan terus mengikut kawannya itu balik ke rumah untuk menonton cerita Gaban. Sampai sahaja di depan rumah, dia berhenti.

“Kalau hang semua nak tengok cerita Gaban, hang kena beli dulu aiskrim kat kedai mak aku. Kalau hang tak beli tak boleh tengok,” katanya. Pulak! Kena beli aiskrim dulu. Terkena Kairul dengan kawannya. Hendak tengok Gaban punya fasal, terpaksalah korbankan 10 sen.

Itu kisah Gaban dan Satria Baja Hitam. Selain hero ini, banyak lagi yang menjadi kegilaan budak-budak waktu itu. Siapa masih ingat lagi dengan kartun ‘Captain Planet’. Watak cerita ini juga terbawa-bawa zaman sekolah dahulu. Siap pesan kepada kawan-kawan suruh pakai cincin ke sekolah.

Siapa yang tidak bawa, dia memang tidak boleh masuk kumpulan. Iyelah! ‘Captain Planet’ kan dia keluar melalui cincin. Apabila lima cincin bersatu, barulah dia keluar. Seorang kena pegang unsur angin, seorang air, seorang tanah, seorang api, dan seorang lagi unsur roh. Bila lima bersatu, barulah terbitnya ‘Captain Planet’.  

Bunyi sahaja loceng waktu rehat, kami semua berlari pergi ke padang. Walaupun panas tidak menjadi halangan. Kononnya di sana ada penjahat yang sedang mengamuk. Kami duduk di belakang pokok mengintai kononnya ada penjahat.

“Kau duduk sebelah sana. Kita kepung. Kalau aku cakap keluar kita keluar,” seorang memberi arahan.

Setelah nampak sesiapa sahaja yang lalu di situ, kami akan keluar dengan gaya seorang super hero.

“Cepat bergabung!!! Air, api, angin, tanah, roh… Bergabung,” katanya.

Jeng! Jeng! Jeng! Dam! Dam!

Siap dengan bunyi muzik lagi. Maklumlah, ‘Captain Planet’ kan hendak keluar. Lepas itu memang siapa yang ada di padang kami kejar. Apa yang dikejar dan motif pun tak tahu. Tapi apa yang pasti, kami sudah menjadi geng ‘Captain Planet’.

Macam-macam lagi kartun superhero waktu itu. Kalau cerita Ninja Turtle pula, pernah ada seorang rakan Ambo yang terlalu taksub dengan watak kura-kura itu sampai sanggup bawa kuali ke sekolah sebab nak jadi Ninja Turtle.

Selepas itu, ada pula watak Power Rangers. Watak ini juga menjadi kegilaan budak-budak. Kalau Gaban atau Satria Baja Hitam, dia hanya seorang diri sahaja. Jadi semua akan membawa watak itu, tetapi Power Rangers ini dia mempunyai lima sekawan. Jadi Ambo dan kawan-kawan boleh bahagikan watak itu mengikut warna.

Sekolah Ambo waktu itu semuanya lelaki. Tidak ada perempuan. Dalam kelas pula ada beberapa kumpulan. Semuanya hendak jadi Power Rangers. Jadi mahu tidak mahu, Ambo perlu mencari lima orang untuk buat kumpulan Power Rangers.

Apabila bahagikan warna, mesti bergaduh. Sebabnya, semuanya berebut hendak jadi Power Rangers merah. Dialah yang paling hebat dan ketua.

“Aku nak jadi merah. Aku nak warna ni, aku nak yang ni,” kata kawan-kawan.

Kami mulalah berebut. Untuk berlaku adil, kami terpaksalah lala tamplong. Seorang demi seorang dapat warna. Biru, merah, dan hitam. Kalau tiba untuk bahagikan warna pink dan kuning, memang akan ada yang merajuk.

“Argh! Tak naklah aku warna pink. Tu perempuan. Aku ni lelaki. Tak apalah, aku tak nak main,” katanya.

Itu memang masalah. Ada juga yang menangis sebab dapat warna kuning. Iyalah, itu watak untuk perempuan. Kami semua lelaki. Memang tidak puas hatilah. Semua hendak jadi hebat sahaja.      

Itu semua nostalgia yang tidak dirasai oleh kanak-kanak zaman sekarang. Bersama watak superhero inilah kami membesar. Banyak lagi kartun-kartun lain yang menjadi kenangan kita bersama. Tambahan kartun dari Jepun pada waktu itu memang popular.

CyberCop, Maskman, FlashMan, Masked Rider, The Flash, Thundercat, Mighty Mouse, Superman, Ultraman dan macam-macam lagi. Ultraman yang paling popular waktu itu ialah Ultraman Ace dengan Ultramen Taro. Nama-nama ini pasti tidak pernah luput dalam memori kita yang membesar pada era 90-an. – Ambo, Kota Bharu, Kelantan.

___

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Nonny Nadirah disuruh pakai seluar dalam terbalik, elak sihir

Bukan semua kisah cinta berakhir dengan kebahagiaan. Ada yang berakhir dengan tangisan. Ada yang berakhir dengan kekecewaan. Namun bagi penyanyi dan...

More Articles Like This