LANGKAH untuk menubuhkan Suruhajaya Siasatan Diraja (RCI) perlu diambil bagi menangani kemelut dalam institusi kehakiman negara, kata bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Dalam satu kenyataan bersama yang ditandatangani lapan ahli Parlimen PKR yang lain, Rafizi berkata, RCI itu penting bagi menyiasat pelbagai dakwaan berhubung pelantikan dan campur tangan yang berlaku dalam urusan kehakiman.
Beliau berkata, kemelut yang berlaku ketika ini adalah yang paling serius dalam insititusi kehakiman negara sejak skandal video VK Lingam pada 2007.
“Isu ini bukan sekadar melibatkan kelewatan pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan yang masih kosong tetapi juga membabitkan tuduhan yang lebih serius.
“Ini termasuk dakwaan bahawa seorang hakim Mahkamah Persekutuan telah dipanggil oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) untuk menjelaskan tuduhan cuba mempengaruhi kes dan pertukaran hakim,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas ahli-ahli Parlimen PKR di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Subang, pagi tadi.

Untuk rekod, Rafizi berkata, kenyataan tersebut telah ditandatangi oleh ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; ahli Parlimen Subang, Wong Chen; ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; ahli Parlimen Balik Pulau, Bakhtiar Wan Chik; ahli Parlimen Ledang, Ibrahim Syed Noh; ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar.
Mengulas lanjut, Rafizi turut menzahirkan kebimbangan terhadap kegagalan kerajaan untuk bertindak atas pencalonan-pencalonan yang dikemukakan oleh JAC sejak sebelum persaraan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Beliau mendakwa, mesyuarat tergempar JAC pada Jumaat lalu juga diadakan tanpa mematuhi notis 10 hari seperti yang ditetapkan, seolah-olah ingin memulakan semula proses pencalonan tanpa menjelaskan apa yang telah berlaku sebelum ini.
Menyifatkan keadaan itu sebagai satu pencemaran besar terhadap prinsip pengasingan kuasa dan kebebasan kehakiman, Rafizi berkata, mereka turut menyatakan komitmen untuk memohon siasatan rasmi oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkaitan Reformasi Institusi, serta memanggil Perdana Menteri sendiri untuk memberi penjelasan di hadapan Parlimen.
Selain usaha di peringkat institusi, katanya, mereka juga merancang satu kempen penerangan kepada rakyat, termasuk forum awam yang akan bermula di Kuala Lumpur dan Selangor pada 13 Julai ini serta petisyen dalam talian yang akan dilancarkan bagi mengumpul sokongan orang ramai.
“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia memberi perhatian kepada isu ini yang mempunyai kesan besar kepada rakyat dan negara di masa hadapan, walaupun ia mungkin dilihat remeh di celah-celah pelbagai isu lain,” kata Rafizi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

