TAKTIK licik dua lelaki tempatan memasang peranti skimmer pada mesin juruwang automatik (ATM) bagi mencuri maklumat perbankan pelanggan berjaya dipatahkan polis selepas kedua-duanya diberkas di Pandan Indah, awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kegiatan itu terbongkar selepas Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menerima laporan daripada seorang pegawai Public Bank pada 14 Mei lalu berhubung penemuan peranti asing pada sebuah mesin ATM di Jalan Bukit Bintang.
Menurutnya, pemeriksaan pihak bank mendapati satu peranti skimmer dipasang pada slot kad mesin ATM berkenaan yang dipercayai digunakan untuk mencuri data perbankan pelanggan.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati dua lelaki tempatan disyaki memasang peranti berkenaan pada 13 Mei lalu.
“Susulan risikan dan maklumat yang diperoleh, sepasukan pegawai serta anggota BSJK IPD Dang Wangi berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 51 tahun pada 4 Jun lalu di sekitar Pandan Indah bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan memasang peranti skimmer pada mesin ATM untuk mendapatkan data perbankan pengguna tanpa kebenaran.
Katanya, polis turut merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan itu termasuk komputer riba, alat pembaca kad (card reader), kad ATM klon, komponen elektronik dan telefon bimbit.
“Siasatan lanjut mendapati suspek dipercayai cuba mendapatkan data perbankan pelanggan melalui pengubahsuaian peranti elektronik yang dipasang pada beberapa mesin ATM di sekitar Kuala Lumpur.
“Bagaimanapun, cubaan itu gagal dan tiada sebarang kerugian dilaporkan membabitkan pihak bank atau pelanggan,” katanya.
Menurut Sazalee, kes disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek direman selama enam hari bermula 5 hingga 10 Jun bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu telah dituduh di Mahkamah Sesyen Jalan Duta hari ini mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika menggunakan mesin ATM dan segera memaklumkan kepada pihak bank atau polis sekiranya mengesan sebarang peranti atau objek mencurigakan pada mesin berkenaan.
“Polis Diraja Malaysia akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam jenayah komersial yang boleh mengancam keselamatan sistem perbankan negara,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

