HARGA runcit petrol dan diesel bagi minggu ini kekal tanpa sebarang perubahan meskipun kerajaan masih menanggung subsidi bahan api yang dianggarkan mencecah RM3.5 bilion sebulan.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata, keputusan mengekalkan harga bahan api itu dibuat selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) susulan pergerakan purata harga pasaran petroleum antarabangsa pada minggu terdahulu.
Menurut MOF, walaupun harga minyak mentah Brent global kini menyederhana kepada sekitar AS$90 setong berbanding kemuncak AS$120 setong ketika krisis Asia Barat pada April lalu, tanggungan subsidi kerajaan masih kekal tinggi.
“Daripada jumlah subsidi sekitar RM3.5 bilion sebulan berdasarkan harga pasaran semasa, subsidi RON95 diunjurkan sekitar RM2 bilion sebulan manakala subsidi diesel pula RM1.5 bilion sebulan,” menurut kenyataan hari ini.
Kementerian itu memaklumkan subsidi bulanan bagi RON95 dan diesel yang hanya sekitar RM700 juta pada Januari 2026 melonjak kepada hampir RM5 bilion pada Mac sebelum memuncak kepada RM7.5 bilion pada April susulan kenaikan mendadak harga minyak mentah dunia.
MOF berkata, pasaran petroleum antarabangsa masih berdepan ketidaktentuan meskipun menunjukkan trend lebih stabil sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Katanya, faktor seperti bekalan fizikal, tahap inventori global dan permintaan bermusim di beberapa rantau utama dunia terus mempengaruhi pergerakan harga minyak.
Dalam masa sama, kerajaan memberi jaminan bekalan petroleum negara kekal stabil dan mencukupi hasil perancangan bekalan yang disusun bagi memastikan keterjaminan bekalan pada masa hadapan.
“Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh langkah keterjaminan bekalan jangka panjang dan pelaksanaan subsidi bersasar bagi mengurangkan tekanan kos kepada rakyat serta memastikan sektor penting negara terus beroperasi dengan stabil,” katanya.
MOF turut menggalakkan rakyat menggunakan bahan api secara lebih cekap dan berhemah menerusi perancangan perjalanan yang lebih baik serta mengurangkan pembaziran penggunaan bahan api dalam menghadapi ketidaktentuan global.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

