KELEWATAN pelantikan institusi kehakiman seolah-olah membayangkan bahawa Perdana Menteri tidak bersetuju dengan calon-calon yang telah dikemukakan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Itu antara rumusan yang dinyatakan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli susulan kenyataan dikeluarkan Jabatan Peguam Negara (AGC), hari ini.
Walaupun beliau mengalu-alukan pandangan AGC, namun Rafizi berkata, kenyataan dikeluarkan AGC itu secara tidak langsung memberi pengesahan kepada beberapa perkara.
Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berkata, kenyataan AGC seolah-olah mengesahkan bahawa terdapat kelewatan dalam proses pelantikan dan ada pencalonan JAC yang tidak dipertimbangkan atau tidak diambil tindakan.
Pada masa sama, kata beliau, ia juga mengesahkan bahawa mesyuarat JAC yang terkini dipanggil tanpa memenuhi notis 10 hari seperti kehendak pentadbiran.
Selain itu, Rafizi berkata, kenyataan AGC juga tidak langsung mengesahkan bahawa tuduhan seorang hakim Mahkamah Persekutuan terlibat dalam mempengaruhi keputusan mahkamah dan penugasan semula hakim ada dibincangkan dalam satu mesyuarat JAC.
“Sementara saya sedia maklum peruntukan Perlembagaan bahawa tanggungjawab menasihati Yang di-Pertuan Agong adalah kuasa Perdana Menteri dan kuasa JAC ialah mengemukakan senarai calon yang telah dipertimbangkan dan ditapis kepada Perdana Menteri.
“Keadaan bila mana ada kekosongan mendesak dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Persekutuan akibat kelewatan pelantikan membayangkan Perdana Menteri tidak bersetuju dengan calon-calon yang telah dikemukakan JAC.
“Secara pentadbiran dan undang-undang, perkara ini boleh dijelaskan seperti mana kenyataan AGC,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: Tubuh RCI siasat skandal kehakiman, kata 9 ahli Parlimen PKR
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, kenyataan tersebut menguatkan spekulasi bahawa cabang eksekutif mahu mempengaruhi pelantikan hakim-hakim yang difikirkan lebih serasi dengan pandangan kerajaan.
Jelasnya, AGC tidak mempunyai kedudukan atau hak untuk menilai dan menentukan sama ada dakwaan mesyuarat JAC membincangkan mengenai tuduhan cuba mempengaruhi keputusan kes oleh seorang hakim Mahkamah Persekutuan adalah pra-matang atau bersifat spekulatif semata-mata.
Beliau turut mempersoalkan bahawa AGC sendiri mengakui bahawa sekiranya pertimbangan dalam mesyuarat JAC bersifat rahsia, bagaimana AGC boleh membuat kesimpulan bahawa dakwaan berkenaan tidak mempunyai merit.
“Jika tanggungjawab Perdana Menteri di bawah Perlembagaan adalah melindungi kebebasan, kredibiliti dan integriti badan kehakiman seperti kenyataan AGC, maka perkara-perkara yang boleh mengundang spekulasi seperti itu (cubaan mempengaruhi pelantikan hakim) perlulah dielakkan, kalau pun ia tidak melanggar tatacara prosedur.
“Apatah lagi dalam keadaan sekarang, kenyataan AGC mengesahkan mesyuarat JAC memang membincangkan mengenai tuduhan cuba mempengaruhi keputusan kes oleh seorang hakim Mahkamah Persekutuan,” katanya.
Terdahulu, AGC dalam kenyataan menegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh dianggap sekadar ‘konduit’ yang menerima syor daripada mana-mana pihak berhubung pelantikan dalam badan kehakiman termasuk jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.
Sebaliknya, kata Jabatan Peguam Negara (AGC), Anwar memegang tanggungjawab yang jelas di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dengan tujuan memelihara kebebasan, kredibiliti dan integriti institusi kehakiman negara.
Menurut jabatan itu, dakwaan terdapat kelewatan dalam proses pelantikan dan kegagalan mengambil tindakan terhadap pencalonan terdahulu hendaklah dilihat dari sudut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

