SEORANG penjaga parkir yang sebelum ini tular selepas mengeluarkan sepucuk pistol ketika bergaduh di sekitar ibu negara baru-baru ini didakwa di tiga Mahkamah Majistret berasingan di Kuala Lumpur hari ini.
Lelaki itu didakwa atas 11 pertuduhan mengugut empat orang lelaki, dan mencederakan dua mangsa terbabit, selain memiliki senjata api tiruan, pada malam yang sama awal bulan ini.
Bagaimanapun, tertuduh R. Sanjjiiv, 27, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Illi Marisqa Marlizan, Noorelynna Hanim Abdul Halim, dan M.S. Arunjothy.
R. Sanjjiiv didakwa atas lima pertuduhan memiliki sepucuk pistol tiruan berwarna hitam bertulis ‘M1911AI US Army ASGK Tokyo Marui Made in Japan’ di dalam papan pemuka sebuah kereta jenis Toyota Yaris warna merah, tanpa sebab yang sah di lima lokasi berlainan antaranya di Jalan Sungai Besi, Jalan Klang Lama dan Taman Desa, dekat sini, antara 10 dan 11.30 malam, 1 Julai lalu.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Berbahaya 1960 yang membawa hukuman penjara yang boleh sampai setahun dan denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Selain itu bapa dua anak berkenaan turut didakwa atas empat lagi pertuduhan melakukan ugutan bagi menakutkan empat lelaki dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mereka di tempat, tarikh dan masa sama.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum duta tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sekiranya ugutan itu adalah untuk menyebabkan kematian atau cedera parah, tertuduh boleh dipenjarakan selama tujuh tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, dia turut didakwa atas satu lagi pertuduhan mendatangkan kecederaan ke atas seorang individu dengan menumbuk muka lelaki itu di Jalan Sungai Besi melepasi Terowong Smart pada 10 malam, tarikh yang serupa.
Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara yang boleh sampai setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sanjjiiv juga didakwa mencederakan seorang lagi lelaki berusia 58 tahun dengan menggunakan sepucuk pistol tiruan miliknya di tepi jalan sebuah premis dekat Jalan Klang Lama, di ibu negara sekitar jam 11.30 malam pada tarikh itu.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda, atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Batrisyia Mohd Khusyri, Iman Nurhidayah Ezani dan Nursyuhada Husna Sulaiman manakala tertuduh diwakili peguam Khairunnisa Azzahra Ghazalie.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM19,000 dengan seorang penjamin bagi 11 pertuduhan dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain menetapkan 13 Ogos dan 4 September depan untuk sebutan semula kesemua kes.
Sebelum ini, media melaporkan polis menahan dua lelaki berusia 19 dan 27 tahun selepas disyaki mengacukan pistol tiruan ke arah seorang lelaki susulan satu kemalangan di Taman Desa, 1 Julai lepas.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ku Mashariman Ku Mahmood berkata pertengkaran antara kedua-dua pihak tercetus dan pemandu Toyota Yaris didakwa mengeluarkan sepucuk pistol berwarna hitam sebelum mengacukannya ke arah mangsa.
Rakaman kejadian itu turut tular di media sosial sejak awal Jun lepas.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

