SEORANG pekerja kilang warga Bangladesh maut selepas dihempap rak penyimpanan barang dalam satu kejadian di sebuah kilang sarung tangan di Jalan Kawasan Perindustrian dekat Olak Lempit, Kuala Langat, pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian sekitar jam 10.54 pagi.
Susulan itu katanya, seramai 9 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) digegaskan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 15 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian pasukan mendapati terdapat enam orang mangsa terhimpap runtuhan rak penyimpanan barang setinggi 17 tingkat.
“Lima orang mangsa telah berjaya dikeluarkan sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian, manakala seorang lagi belum ditemui.
“Bagaimanapun pasukan telah menemukan seorang lagi mangsa lelaki warga Bangladesh berusia 33 tahun di bawah timbunan barang pada jam 11.20 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya lelaki dikenali sebagai Rahman itu kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

