PEMBINAAN tiga kapal misi pesisir (LMS) kelompok kedua oleh syarikat pertahanan Turkiye Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM) di Istanbul Shipyard adalah mengikut jadual yang ditetapkan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata LMS pertama dijangka dapat diluncurkan pada April 2026 diikuti LMS kedua pada Jun dan yang ketiga pada Ogos tahun sama.
“Pembinaan LMS kelompok kedua merupakan perolehan pertama selepas pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) kerajaan dengan kerajaan (G2G) bagi perolehan produk pertahanan ketika lawatan rasmi sulung saya ke Turkiye pada Jun tahun lepas.
“Sudah tentu kemajuan pembinaan ini penting kerana ia menjadi kayu ukur kepada pendekatan perolehan baharu oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pembinaan kapal itu di Istanbul Shipyard, Turkiye, semalam.
Mengiringi beliau Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain dan delegasi Kementerian Pertahanan.
Baca artikel lain: Mohamed Khaled mulakan lawatan rasmi 3 hari ke Turkiye
Mohamed Khaled berkata selepas peluncuran ke dalam air, pembinaan LMS berkenaan akan memasuki fasa penting iaitu pengintegrasian pelbagai sistem yang bakal digunakan di dalamnya sebelum Malaysia menerima keseluruhan tiga kapal berkenaan pada akhir 2027.
Beliau juga berkata perolehan tiga LMS ini akan disusuli Program Kolaborasi Industri (ICP) yang berpotensi memberi kesan besar terhadap industri pertahanan tempatan termasuk melalui pemindahan teknologi yang bakal dimuktamad sebelum akhir tahun ini.
Mohamed Khaled berkata Turkiye, sebelum menjadi negara pengeluar produk pertahanan, turut melalui proses pemindahan teknologi dari negara lain sehingga berjaya membangunkan industri pertahanannya sendiri.
“Malaysia mempunyai aspirasi yang sama. Semoga hubungan baik serta kerjasama strategik antara Malaysia dan Turkiye berupaya melonjakkan industri pertahanan tempatan dan pada masa sama, mengukuhkan kedaulatan negara,” katanya.
LMS kelompok kedua milik Tentera Laut Diraja Malaysia itu dibina berdasarkan reka bentuk kapal korvet kelas-Ada dibangunkan oleh STM yang berkemampuan melaksanakan pelbagai misi.
Terdahulu, Mohamed Khaled menghadiri Pameran Industri Pertahanan Antarabangsa (IDEF) 2025 iaitu antara pameran berprestij di dunia anjuran Kementerian Pertahanan Nasional Turkiye (MOND) di Pusat Ekspo Istanbul.
–BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

