Dalam kajian ‘Tabiat Tidur Rakyat Malaysia 2018’ yang dilakukan oleh Nielsen Malaysia dengan kerjasama Am Life International Sdn. Bhd., didapati 35 peratus daripada 32 juta rakyat Malaysia mengalami masalah sukar tidur dan 12.2 peratus daripadanya mengalami masalah insomnia kronik.
Kelekaan bermain gajet sebelum tidur merupakan salah satu puncanya. Namun perkara paling besar yang menyebabkan insomnia atau sukar tidur ialah masalah stres dan kemurungan.
Dua perkara ini saling berkait. Bila kurang tidur, anda berasa letih dan lebih sensitif, sekali gus menambah stres. Lama-kelamaan stres itu boleh membawa kepada kemurungan.

Ada banyak cara yang disarankan oleh doktor bagi mengurangkan stres. Antaranya bersantai, meditasi, imaginasi dan yoga. Terbaru, kajian-kajian perubatan turut melihat kepada aspek agama dalam menangani stres, dan didapati elemen spiritual ini boleh mengurangkan kesan stres.
Sekumpulan penyelidik telah menganalisis 50 kajian berkenaan psikologi positif mendapati, 49 daripada kajian itu menunjukkan individu yang menggunakan kaedah ini mencapai tahap kesejahteraan, kebahagiaan dan kepuasan hidup yang lebih baik.
Faktor ini mendorong sekumpulan penyelidik dari Fakulti Psikologi dan Pendidikan di tiga buah universiti di Iran – Universiti Teheran, Universiti Shahid Beheshti dan Universiti Allameh Tabataba’I – mengkaji psikologi positif daripada perspektif Islam berdasarkan tafsiran ayat-ayat al-Quran dan hadis. Hasil kajian mereka diterbitkan dalam Jurnal Sains Tingkah Laku Antarabangsa, Jilid 10, 2016.
Mereka mendapati, psikologi positif yang wujud dalam Islam mendorong umatnya mempunyai pandangan positif terhadap manusia, mempercayai Allah Maha Pemurah, bersyukur, bertawakal (berserah kepada Allah) dan memahami konsep manusia sejagat.
Menurut penyelidik itu, sikap optimis yang dimiliki oleh individu yang positif membolehkan mereka mempunyai tanggapan yang baik terhadap kejadian yang telah, sedang dan akan berlaku. Manakala hubungan dengan dirinya sendiri, manusia lain, Tuhan dan alam juga lebih baik kerana mereka akan memfokuskan kepada perkara yang positif.
Kata penyelidik-penyelidik Iran itu, perbezaan utama sikap positif dalam Islam dan psikologi Barat terletak pada pandangan asas. Islam menekankan kepada faham kolektif dan hubungan antara manusia dengan Tuhan dan alam, sedangkan psikologi Barat berteras kepada humanisme, yakni manusia sentiasa berubah dan berkembang ke arah matlamat sebenarnya.

Percaya kepada sifat Allah Yang Maha Pemurah membuatkan manusia berasa optimis dan berfikir secara positif. Mereka bersangka baik pada Allah dan mentafsirkan apa jua kejadian yang berlaku, sama ada baik atau buruk, mempunyai rahmat di sebaliknya. Ini seterusnya menyuburkan lagi keimanan mereka dan menambah keberkatan dalam hidup mereka.
Kepercayaan Kepada Tuhan
Dalam satu kajian lain di Malaysia, aspek agama didapati membantu wanita yang bekerja sebagai pensyarah dan jururawat mengimbangi tuntutan kerjaya serta keluarga dengan baik selain memberikan kepuasan yang lebih tinggi dalam kerjaya mereka.
Kajian oleh Meguellati Achour dan Mohd. Roslan Mohd. Nor dari Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya serta Benaouda Bensaid dari Universiti Effat, Jeddah yang bertajuk ‘Perspektif Islam Dalam Menangani Tekanan-tekanan Hidup’ ini diterbitkan dalam The International Society for Quality-of-Life Studies (ISQOLS) 2015.
Kedua-dua pengkaji mendapati strategi, kaedah dan teknik Islam dalam menangani stres berakar umbi pada kerohanian Islam dan dijalin dengan pelbagai bentuk ibadat dan disiplin moral. Teknik-teknik Islam seperti solat dan doa, sabar, kepercayaan kepada Tuhan dan bacaan al-Quran berpotensi mengurangkan stres, kemurungan dan kebimbangan dalam kehidupan.
Kaedah Islam menangani stres jelas meletakkan hubungan individu itu dengan Pencipta dan kebergantungan kepada-Nya dalam apa jua perkara yang berlaku dalam hidup.

Kaedah dan teknik Islam menangani stres terletak pada lima perkara iaitu kepercayaan kepada Allah, mendirikan solat, berzikir, berfikir secara positif dan sokongan masyarakat.
Kepercayaan kepada Allah membuatkan seseorang itu lebih menerima, bertoleransi, bersedia dan berkorban untuk kerja dan prestasi kerjaya serta tanggungjawab keluarga kerana mereka yakin segala-gala itu akan membawa kepada keredhaan dan keberkatan Allah. Mereka sedar dan yakin perancangan Allah adalah yang paling baik dan sesuai. Sekalipun dalam keadaan sukar, mereka yakin Allah akan mengubah keadaan itu menjadi lebih baik.
Mendirikan solat pula membantu merencatkan tempoh stres pekerjaan dan memberi peluang untuk badan berehat secara fizikal, mental dan psikologi. Dalam keadaan stres, secara fisiologi badan akan merembeskan hormon dalam kumpulan kortikosteroid yang menyebabkan hipertensi dan dikaitkan dengan serangan jantung, kegagalan jantung, ulser gastrik dan gangguan saraf.
Amalan berzikir merangkumi solat, doa, membaca dan mendengar bacaan al-Quran, tasbih dan renungan mengenai alam semesta dan penciptaan-Nya. “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” – (ar-Ra’d: 28)

Sokongan komuniti turut penting dalam membantu individu agar tidak terasa terasing dan bersendirian kala berdepan dengan bencana, stres atau kebimbangan. Ia merupakan satu lagi lapisan sokongan kepada individu selain amalan dan ibadatnya secara bersendirian.
Kajian-kajian ini menunjukkan, lebih dekat manusia itu dengan Pencipta, makin tenang hati dan fikirannya. Ini kerana mereka sedar ada kuasa yang lebih besar iaitu Allah, yang menguasai apa yang berlaku kepada mereka.
Setiap kejadian, sama ada baik dan buruk, ada rahmat di sebaliknya dan Allah sentiasa bersama mereka sebagaimana dinyatakan dalam ayat 53 surah az-Zumar: “… janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.’’
“Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan) tetapi Dia berkehendak membersihkan (menyucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.’’ – (al-Maa’idah: 6)
___
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

