Hijrah seorang peruntuh masjid. Tangannya pernah merobohkan rumah Allah, tetapi akhirnya dia sujud dalam keinsafan

Dari Penulis

Adakah ada lagi di antara kita yang masih ingat tragedi hitam yang berlaku pada tarikh 6 Disember 1992? Masjid Babri di Ayodhya, India! Masih ingat lagikah nama masjid itu? Jika kita lupa, masjid inilah yang mendatangkan kemarahan umat Islam dunia apabila ia dimusnahkan oleh puak pelampau Hindu.

Dalam kejadian ini, seramai 150,000 pejuang pelampau Hindu, tidak dapat dihalang daripada memusnahkan masjid berkenaan semasa konflik berpanjangan untuk merebutnya antara Hindu dengan Muslim di India.

Masjid Babri yang dimusnahkan pelampau Hindu pada 1992.

Salah seorang pemimpin Hindu atau dalang utama untuk meruntuhkan Masjid Babri ini ialah seorang pemuda yang bernama Shive Prasad. Lelaki itu berasal dari Faisabad iaitu daerah di mana terletaknya Masjid Babri.

Prasad adalah ketua sebuah parti politik Bajrang Dal dan dia adalah orang yang diberikan kepercayaan serta tanggungjawab ‘suci’ untuk mengetuai hampir empat ribu penduduk daerah Kar Sevak bagi meruntuhkan Masjid Babri.

Tindakan untuk meruntuhkan masjid lama itu telah lama dirancang oleh Prasad. Dia telah mengaturkan strategi dengan teliti serta melatih para pengikutnya seramai empat ribu orang dengan baik supaya misi untuk meruntuhkan masjid itu berjalan lancar. Perbuatan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi juga tidak menghormati perasaan 31 juta penduduk Islam di sana.

Masjid Babri adalah masjid lama yang dibina pada kurun ke 16 oleh pemerintah empayar Mughal ketika itu.

Masjid Babri merupakan sebuah masjid yang terbesar di Uttar Pradesh iaitu sebuah negeri yang terletak di utara India.

Pada hari kejadian, setelah menceroboh masuk ke dalam masjid, Prasad berjaya memanjat pula sehingga ke atas kubah besar masjid. Dia dan pengikutnya yang lain seterusnya menawan masjid Babri.

Setelah berjaya menawan masjid itu, Prasad bersama pengikutnya seramai empat ribu orang itu telah meruntuhkan kubah dan keseluruhan masjid tersebut. Sambil meruntuhkan masjid, mereka bersorak gembira dan mencerca agama Islam.

Selesai semuanya, mereka melaungkan perkataan “Ram! Ram!” sebagai tanda kejayaan mereka menjalankan misi meruntuhkan Masjid Babri.

Prasad berasa sangat gembira kerana baginya, dia telah berjaya mengembalikan semula hak penganut Hindu. Kononnya dahulu, dikatakan kawasan masjid itu ialah tapak kuil yang dibina untuk memperingati tempat kelahiran tuhan mereka yang bernama Rama.

NAMUN selepas tujuh tahun kejadian itu berlalu, berlaku satu kejadian yang menggemparkan – Prasad memeluk Islam! Tarikhnya sama dengan hari Prasad telah meruntuhkan Masjid Babri.

Prasad menyesali apa yang telah dilakukannya dan pada hari pengislamannya itu, dia mengalirkan air mata memohon ampun daripada Allah s.w.t.. Selain itu, Prasad turut berpuasa sebagai tanda menyesali perbuatannya meruntuhkan rumah ibadat orang Islam itu.

Inilah yang dinamakan kuasa Allah, dan apabila cinta-Nya sampai ke hati manusia, tiada sesiapa mampu menafikannya. Pada tarikh 6 Disember 1999, Prasad telah menjadi seorang Muslim dan menukar namanya kepada Mohamed Mustafa.

Berita pengislaman Prasad disiarkan oleh Malayalam News pada keesokan harinya. Berita itu kemudiannya dipetik pula oleh Arab News Publication di Arab Saudi.

Kisah Prasad yang memeluk Islam selepas merobohkan Masjid Babri mengejutkan ramai pihak.

Pengislaman Prasad mula tersebar luas. Berita pengislaman Prasad itu mengejutkan banyak pihak. Hal ini adalah kerana bapanya, Trigal Ramanathan, masih merupakan Ketua Puak Sangh Parivar yang bertanggungjawab secara aktif dalam usaha meruntuhkan Masjid Babri.

Menurut Prasad, sejak kejadian dia meruntuhkan masjid itu, dia dihantui perasaan bersalah sehingga memberi tekanan kepada jiwanya. Walaupun dia berjaya meruntuhkan masjid itu dengan tangannya sendiri, namun semua itu tidak menjanjikan kedamaian kepadanya kerana dia merasakan yang dia telah melakukan satu dosa yang besar.

Ada laporan juga menyebut bahawa dia tidak mendapat sebarang ganjaran seperti yang dijanjikan oleh pihak politik untuk meruntuhkan Masjid Babri. Malah, Prasad menyesal menyertai tindakan ganas itu dan merasakan dirinya hanya dipergunakan oleh pemimpin politik untuk agenda mereka sahaja.

Prasad  hidup dalam penyesalan mendalam dan dihantui rasa bersalah kerana menyedari perbuatannya menyebabkan ketegangan agama yang melampau dan ribuan nyawa terkorban.

Dalam beberapa wawancara (termasuk dokumentari tempatan India), beliau digambarkan sebagai beralih arah secara dalaman, dengan sikap lebih toleran terhadap komuniti Muslim dan agama lain selepas kejadian Masjid Babri itu.

Akhirnya, dia membuat keputusan untuk berhijrah ke luar negara dengan harapan dia tidak lagi diburu oleh perasaan bersalah itu. Prasad telah berhijrah ke Sharjah di sebuah negeri dalam negara Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Namun, fikirannya masih lagi tidak tenang. Walaupun dia cuba menyibukkan dirinya dengan pekerjaan, dia tetap gagal menenangkan jiwanya. Perasaan bersalah masih lagi menghantui jiwanya.

Sehinggalah pada 4 Disember 1998, Prasad berjalan seorang diri dibandar Sharjah. Secara tiba-tiba dia terdengar satu khutbah dari sebuah masjid berhampiran. Menariknya, khutbah itu disampaikan dalam bahasa Urdu. Prasad dapat memahami isi kandungan khutbah tersebut dengan jelas.

Apabila mendengar khutbah itu, Prasad terus berhenti dan duduk di satu sudut. Dia mengamati setiap khutbah itu. Tiba-tiba Prasad tersentak. Dia terkedu apabila mendengar khatib itu mengatakan bahawa Allah itu Maha Besar dan Berkuasa atas segala sesuatu. Dia juga mampu mengubah hati-hati mereka yang tidak mempercayai kewujudan-Nya selama ini.

Sebaik mendengar khutbah itu sehingga selesai, satu perasaan yang di cari selama ini menyelubungi dirinya. Dia berasa tenang! Perasaan serabut yang bersarang di dalam hatinya itu seolah-olah tercabut dari hatinya. Dia merasakan bebanan yang ditanggung selama ini juga hilang serta-merta.

Segala puji-pujian kepada Allah yang akhirnya telah memberi hidayah dan membuka pintu hatinya walaupun dia telah melakukan satu kesalahan yang memang sukar untuk diterima apatah lagi untuk dimaafkan.

Berita keislaman Prasad bukan sahaja menimbulkan kemarahan keluarga, malah dia juga dihalau oleh ahli keluarganya. Mereka semua malu dengan keputusan yang dia lakukan. Prasad dilarang pulang ke India. Jika dia pulang, ancaman maut menantinya.

Berita pengislaman Prasad itu juga menyebabkan parti-parti politik dan pelbagai pertubuhan Hindu yang menyokong tindakannya meruntuhkan Masjid Babri turut menjadi marah dan mengancam untuk membunuhnya tanpa mengira masa dan tempat.

Namun, semua itu tidak membuatkan iman Prasad goyang. Bagi dirinya, Islam telah menjadikan dia sebagai manusia baru yang dahagakan kebenaran. Dia juga bercita-cita untuk berkongsi kebenaran mengenai Islam dengan orang lain termasuk ahli keluarganya sendiri.

“Kalau itu diizinkan Allah, bukan soal dosa saya sudah tertebus atau tidak, tetapi sekurang-kurangnya itulah sumbangan saya terhadap Islam, dan juga untuk saya menebus segala dosa saya di atas perbuatan saya yang telah melukakan hati jutaan umat Islam. Dan saya berharap agar mereka juga memaafkan saya dengan sekurang-kurangnya saya membina semula apa yang telah saya runtuhkan,” ujar Prasad dengan perasaan sayu.

___

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kecoh dakwaan Kuil Ular jadi tempat memohon hajat orang Islam, Malar dedah cerita sebenar

Isu berkaitan sebuah rumah ibadat yang dikenali sebagai Kuil Ular kembali menjadi perbualan di media sosial. Sebelum ini, Mastika mendapat...

More Articles Like This