BEKAS vokalis kumpulan Medicine iaitu Ijam menganggap penghijrahannya ke arah yang lebih baik adalah disebabkan berkat doa ibunya sejak 30 tahun lalu.
Ijam atau Norhizam Shair,58, berkata, dia mula berminat untuk mendalami ilmu agama selepas pertemuannya dengan dengan bekas Mufti Selangor, Allahyarham Datuk Ishak Baharom sekitar 21 tahun lalu.
“Saya mula membuat perubahan diri secara perlahan-lahan sejal 2002. Semuanya bermula selepas bertemu dengan Datuk Ishak pada 2002.
“Ketika pertemuan kami itu, banyak perkara yang dinasihatkan termasuklah hal kematian. Dia mengingatkan saya tentang kematian.
“Selain itu, saya anggap perubahan diri saya ini juga adalah doa-doa daripada emak saya yang ingin melihat satu-satunya anak lelakinya mendalami ilmu agama.
“Sebagai orang tua, sudah tentu mereka lebih faham hal agama lebih-lebih lagi tentang pesanan Rasulullah SAW berkenaan kalau matinya anak Adam, maka terputuslah hubungan atau amalan. Tapi tiga perkara yang tak akan putus iaitu amal jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak soleh,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada sidang media Umrah I’tikaf Ramadan 2024 bersama Datuk Nash, baru-baru ini.

Ujar penyanyi lagu Tika dan Saat Ini lagi, dia sedar jika ibu bapanya bimbang sekiranya dia terus hanyut dalam dunia nyanyian dan meninggalkan perkara wajib dilaksanakan sebagai umat Islam.
“Saya tahu, ibu bapa saya mungkin takut anak lelakinya terus lalai apabila menjadi penyanyi rock. Subhanallah, takut tiada anak mendoakannya kerana saya pula seorang saja anak lelaki dan ada dua lagi anak beradik perempuan lain. Maka, doa daripada emak yang berterusan itu akhirnya dimakbulkan Allah.
“Dengan nasihat ringkas yang diingatkan Datuk Ishak kepada saya iaitu ‘setiap yang bernyawa itu pasti akan merasai mati’, ia amat memberi kesan kepada diri saya yang dirasai sehingga sekarang,” ujarnya.
Bagaimanapun, Ijam masih lagi berkarya dalam dunia muzik dengan menghasilkan lagu-lagu berunsur kerohanian sekaligus ia adalah salah cara dirinya menyebarkan dakwah kepada orang ramai.
Ijam yang kini menetap di Rantau, Negeri Sembilan turut aktif menyampaikan ceramah di kawasan tauliahnya.
Untuk info, selain Ijam, kumpulan itu turut dianggotai Rohaizar Ramli atau Ija yang bermian gitar utama; Mohd Suhaimi Ibrahim atau Mi (gitar kedua), Raihan Ramli atau Han (bes) dan Johari Harun atau Joe (dram).
Ijam pernah berkahwin dengan pelakon juga penulis skrip, Rozie Rashid. Namun perkahwinan mereka tidak bertahan lama selepas masing-masing membuat keputusan untuk bercerai.
Kemudian, Ijam bertemu jodoh dengan Nor Suhaila Abdul Karim, 48 tahun.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

