Islamofobia: Malaysia tangani melalui ilmu pengetahuan bukan kemarahan

Dari Penulis

 

 KEJAHILAN terus menjadi punca yang menyemarakkan kebencian dan salah faham tentang Islam, bukan hanya di barat tetapi juga di Timur malah dalam kalangan masyarakat Islam sendiri.

Bagaimanapun kata Datuk Seri Anwar Ibrahim Malaysia tetap tegas dalam menangani isu Islamofobia melalui ilmu pengetahuan, sesi libat urus dan penyebaran al-Quran berbanding dengan kemarahan atau kecaman.

Perdana Menteri berkata, dalam sesetengah kes, Islamofobia telah menjadi satu institusi akibat pengaruh parti-parti berhaluan kanan dan sesetengah kerajaan yang membentuk naratif kebangsaan yang bersifat memusuhi Islam.

‘’Malaysia kini mengambil pendirian untuk memberikan respons berdasarkan nilai-nilai Islam. Kita boleh memilih untuk bersuara lantang dan menjerit dan memaki hamun. Kita boleh memilih untuk menunjukkan kemarahan dan kecaman.  Namun, kita di Malaysia, kita memilih untuk memberikan respons mengikut ajaran dan tradisi Islam iaitu melalui sesi libat urus, ilmu pengetahuan dan pemahaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran terjemahan al-Quran dalam bahasa ke-30 (Rusia) dan penghantaran kontena kitab suci itu di Putraja hari ini.

Merujuk kepada insiden pembakaran al-Quran di Sweden pada 2023, Anwar berkata Malaysia tidak bertindak balas dengan kemarahan sebaliknya mengambil pendekatan mengedarkan al-Quran.

“Inilah sebabnya, apabila kami dimaklumkan tentang pembakaran al-Quran, kami bertindak balas dengan menyatakan bahawa anda bakar satu naskhah al-Quran, insya-Allah kami akan mencetak sejuta lagi dan antara negara pertama yang kami hantar al-Quran itu ialah Sweden dengan terjemahan dalam bahasa mereka. Ini adalah cara yang sewajarnya kita ambil sebagai tindak balas,” katanya.

Terdahulu, Anwar melancarkan terjemahan al-Quran dalam bahasa ke-30 iaitu Rusia oleh Yayasan Restu sebagai sebahagian daripada Projek Sejuta Naskhah al-Quran yang diumumkan pada 2023 sebagai respons kepada insiden pembakaran kitab suci itu di Sweden. 

Sepanjang tempoh dua tahun lepas, projek itu telah berjaya mencetak dan mengedarkan al-Quran yang diterjemah dalam 29 bahasa termasuk Bahasa Inggeris, Tagalog, Perancis, Hindi, Hausa serta Sepanyol.

Dengan pelancaran edisi ke-30 dalam Bahasa Rusia, Yayasan Restu mengambil langkah lebih jauh dengan merancang untuk menambah 30 lagi bahasa bagi meneruskan usaha dakwah ini dan menyasarkan 60 terjemahan pelbagai bahasa dalam tempoh tiga tahun akan datang. 

Inisiatif ini bertujuan memastikan mesej al-Quran sampai dan dihargai oleh pelbagai bangsa serta masyarakat di seluruh dunia selaras dengan misi rahmatan lil alamin (rahmat bagi sekalian alam).

Anwar turut menyaksikan majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi penerbitan Mushaf Ummah al-Jami’, kerjasama ilmiah membabitkan pakar qiraat dari seluruh dunia yang diselia oleh tokoh ulama terkenal Dr Ahmad ‘Isa Al-Ma’sarawi yang menampilkan kesemua 20 mutawatir qiraat dalam bentuk tulisan.

Penerbitan ini bakal meletakkan Malaysia sebagai antara negara terawal di dunia yang menerbitkan mushaf seumpamanya sebagai rujukan untuk dunia Islam, dengan Yayasan Restu merancang untuk mencetak setengah juta naskhah.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran Datuk Abdul Latif Mirasa, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee serta para tetamu kehormat dari luar negara.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Jaslinda ditemui selamat berhampiran Pos Musoh

MISTERI pendaki wanita yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih sejak 23 Mei lalu akhirnya...

More Articles Like This