SERAMAI lima pegawai perubatan akan ditempatkan di Hospital Lahad Datu secara rasmi mulai Julai ini bagi menangani isu kekurangan tenaga kerja di hospital berkenaan.
Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam kenyataan memaklumkan, pengukuhan kapasiti perkhidmatan itu melibatkan penempatan tiga pegawai perubatan tetap dan dua lagi secara sementara.
Menurut JKNS, kesemua lima pegawai perubatan itu dijadual memulakan tugas secara rasmi bermula Julai ini.
JKNS mengambil maklum secara serius isu kekurangan pegawai perubatan yang dihadapi di Hospital Lahad Datu ketika ini.
“Jabatan ini akan memberi keutamaan agihan pegawai perubatan kontrak kepada fasiliti yang mengalami kekurangan kritikal pada pengambilan terdekat.
“Pada masa sama, kawalan perpindahan keluar diperkasa bagi menjamin kestabilan tenaga kerja dan kelangsungan perkhidmatan kepakaran.
“JKNS sentiasa meletakkan kebajikan pesakit dan kelancaran operasi hospital di seluruh Sabah sebagai keutamaan tertinggi sekali gus memastikan mutu penjagaan kesihatan yang terbaik dapat diberikan kepada masyarakat Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, JKNS memberitahu, beberapa langkah proaktif merangkumi beberapa strategi yang telah dan akan segera dilaksanakan bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan dan keselamatan pesakit di Lahad Datu.
Katanya, strategi itu menumpukan kepada pelaksanaan mobilisasi pegawai perubatan melalui pendekatan kluster.
“Ia melibatkan bantuan hospital di bawah Hospital Kluster Kota Kinabalu dan Hospital Kluster Tawau.
“Tindakan pantas ini adalah mustahak bagi menjamin kelangsungan operasi klinikal dan perkhidmatan teras di Hospital Lahad Datu agar tidak terjejas,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

