KERTAS siasatan berhubung dua kes didakwa melibatkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), Khamis lalu.
Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, hari ini.
Sebagai rekod, ia melibatkan dua kes iaitu berkaitan penerbitan artikel oleh Bloomberg.com mengandungi kenyataan berunsur fitnah mengenai pemilikan saham Velocity Capital Partner Berhad.
Selain itu, ia juga berkaitan isu dakwaan penyalahgunaan kuasa dan ugutan jenayah ke atas orang awam bernama Albert Tei.
Menurut Kumar, semua kertas siasatan bagi kes itu sudah dihantar untuk arahan dan nasihat selanjutnya daripada AGC.
“Kertas siasatan sudah dirujuk untuk arahan selanjutnya,” katanya.
Rabu lalu, PDRM mengesahkan telah merakam percakapan Azam bagi membantu siasatan berhubung kedua-dua kes tersebut.
Rakaman percakapan itu dilaksanakan mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
Media sebelum ini melaporkan Bloomberg dalam satu laporan mendakwa Azam, 62, memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.
Berikutan itu, PDRM membuka kertas siasatan selepas menerima laporan polis berhubung penyiaran artikel berkenaan yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap Azam.
Azam turut memulakan tindakan undang-undang terhadap laporan Bloomberg yang disifatkannya sebagai mengelirukan, berunsur fitnah dan menjejaskan reputasi beliau serta integriti SPRM.
Selain siasatan berkaitan artikel Bloomberg, rakaman percakapan Azam turut membabitkan satu lagi kes berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa dan ugutan jenayah terhadap ahli perniagaan, Albert Tei.
Pada 13 Mei lalu, Albert membuat laporan polis dengan mendakwa beliau diugut menerusi seorang peguam.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

