PENYANYI dan penulis lagu kelahiran Britain, Harris J, menjayakan sesi promosi eksklusif sempena pelancaran album EP terbarunya, Revival di Kuala Lumpur, semalam.
Album yang diterbitkan oleh Awakening Music ini menandakan kembalinya Harris ke arena muzik selepas beberapa tahun menyepi, sekaligus menjadi lambang kelahiran semula peribadi dan muziknya.
EP Revival yang mengandungi enam buah lagu ini adalah sebuah naskhah penuh makna yang menganyam tema-tema keimanan, kasih sayang, dan perjalanan spiritual.
Ia mencerminkan kematangan Harris sebagai seorang artis dan peribadi dengan lirik-lirik yang lebih mendalam dan penuh ketulusan.
Harris yang terkenal dengan mesej positif dalam setiap lagunya, meluahkan rasa teruja berada di Malaysia dan bertemu peminat.
“Saya sangat gembira dapat kembali ke Malaysia dan berkongsi album ini dengan semua peminat saya di sini.
“Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati saya, dan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada peminat di sini adalah inspirasi terbesar.
“Saya berharap EP Revival ini dapat diterima baik dan menjadi teman dalam perjalanan spiritual mereka,” katanya.
EP Revival menampilkan gabungan lagu-lagu baharu dan karya ikonik yang disusun semula.
Ia disempurnakan dengan lagu-lagu utama seperti ‘Qalbi Fil Madinah’ yang menampilkan kerjasama dengan Maher Zain, ‘O Allah, ‘Salati’ dan ‘Always Listening’.
Lagu single utama, ‘Hayati’, turut diiringi video muzik sinematik yang diarahkan oleh Idris Kheder, seorang pengarah filem berdarah Perancis-Tunisia, dengan lokasi penggambaran yang menakjubkan di Granada, Sepanyol.
Harris berkata, album ini bukan sahaja sekadar kembalinya dirinya dalam industri muzik, tetapi juga membawa misi peribadi yang lebih besar.
“Saya ingin membantu generasi muda Muslim berasa lebih bangga dengan identiti mereka, dan membantu mereka melihat bahawa Islam adalah cara hidup yang sempurna,” katanya.
Album EP Revival kini tersedia di semua platform penstriman utama.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

