Dilarang memakai seluar, antara undang-undang pelik yang pernah dikenakan terhadap kaum wanita

Dari Penulis

Wanita memakai seluar bukan perkara aneh pada hari ini. Seluar juga menjadi simbol kebebasan, keselesaan dan kesamarataan jantina. Sama ada untuk bekerja, bersukan atau bersantai, seluar bukan lagi pakaian eksklusif lelaki.

Tahukah anda suatu ketika dahulu wujud larangan pemakaian seluar terhadap kaum wanita?

Dahulu, Perancis pernah menetapkan larangan keras pemakaian seluar ke atas golongan wanita. Undang-undang ini telah dijalankan dalam jangka masa yang lama. Percaya atau tidak, pelaksanaan peraturan ini berlangsung melebihi tempoh 200 tahun.

Sepanjang tempoh berkenaan, hanya golongan lelaki yang dibenarkan memakai seluar secara bebas. Sebaliknya, kaum wanita hanya dibolehkan mengenakan pakaian lain seperti kain, skirt atau apa saja yang tidak berkaitan dengan seluar.

Pada 7 November 1800, Perancis secara rasminya mengeluarkan kenyataan mengenai undang-undang tersebut berkuat kuasa serta-merta.

Berdasarkan undang-undang yang dijalankan, kaum wanita perlu meminta kebenaran polis sekiranya mahu memakai seluar. Mereka diwajibkan hadir  ke balai polis bagi mendapatkan permit kebenaran berkenaan.

Sekiranya arahan ini tidak dipatuhi, pesalah akan dijatuhkan hukuman penjara sebagai balasan. Namun begitu, tidak dapat dipastikan tempoh pelaksanaan hukuman penjara ke atas setiap individu yang melanggar undang-undang berkenaan.

Dalam pada itu, pelaksanaan ordinan ini menerima penentangan daripada orang ramai. Pada mereka, pemakaian seluar oleh golongan wanita tidak mempunyai sebarang permasalahan atau isu yang perlu diperbesarkan. Namun demikian, pelaksanaannya tetap diteruskan sehingga undang-undang ini kekal untuk tempoh jangka masa yang panjang.

Seterusnya, pada tahun 1892 dan 1909, larangan pelik ini telah melalui sedikit pengubahsuaian. Ketika itu, pengecualian diberi kepada kumpulan wanita yang melakukan aktiviti menunggang kuda dan berbasikal. Mereka dibolehkan untuk berpakaian seperti ‘lelaki’ semasa melaksanakan dua aktiviti tersebut.

Meskipun tidak mengalami perubahan besar, tetapi setidak-tidaknya golongan wanita di dalam aktiviti berkenaan masih berpeluang untuk melakukannya dengan lebih selesa.

Walau bagaimanapun, perintah ini masih lagi kekal menjadi larangan terhadap kaum wanita secara keseluruhan untuk masa yang lama. Undang-undang berkenaan kekal sehingga mencecah usia ratusan tahun sehinggalah ia dibangkitkan oleh suara Menteri Hak Wanita Perancis, Najat Vallaud-Belkacem.

Jelasnya, pada peringkat awal, larangan ini diwujudkan bagi mengehadkan wanita daripada terlibat di dalam sektor pekerjaan tertentu. Sungguhpun begitu, langkah untuk memansuhkan larangan ini dikatakan bermula daripada usul cadangan seorang ahli parlimen Perancis, Alain Houpert.

Menurut digitaljournal.com, pendapat Houpert telah menarik perhatian Menteri Hak Asasi Wanita untuk melakukan perubahan ke atas undang-undang ‘purba’ tersebut.

Selepas beberapa ketika kajian terhadapnya dilakukan, Vallaud-Belkacem mengumumkan bahawa perintah itu tidak memiliki sebarang kesan terhadap undang-undang. Lagi pula, ia dilihat sebagai ordinan yang bersifat tidak adil terhadap golongan wanita.

Akhirnya, kerajaan bersetuju untuk menarik balik undang-undang berkenaan. Pada 31 Januari 2013, Vallaud-Belkacem telah mengumumkan pembubaran perintah tersebut di Perancis.

Perkara itu disambut baik oleh orang ramai terutamanya golongan wanita kerana memperoleh kebebasan untuk menggayakan seluar tanpa sebarang sekatan. Siapa sangka ordinari pelik ini mampu bertahan dalam buku undang-undang Perancis selama 213 tahun, walaupun ia tidak dikuatkuasakan secara serius pada zaman moden.

Fakta Tambahan

  • Sehingga awal abad ke-20, wanita di banyak bahagian belahan dunia tidak dibenarkan memakai seluar secara terbuka. Ia dianggap melanggar kod feminin. Wanita yang berani mencubanya sering dicemuh atau dikenakan tindakan. Namun, tokoh seperti Amelia Bloomer dan perkembangan semasa Perang Dunia Kedua telah mengubah keadaan ini.
  • Di beberapa bandar dan negeri di Amerika, pernah wuud larangan terhadap wanita yang memakai seluar sehingga sekitar pertengahan abad ke-20. Di Los Angeles, California, sehingga tahun 1940-an, wanita boleh ditahan jika memakai seluar di tempat awam. Di Indiana dan Oklahoma, terdapat kod berpakaian sekolah dan pekerjaan yang melarang wanita memakai seluar, terutama dalam sektor awam. Seorang senator wanita, Carolyn Maloney, hanya dibenarkan memakai seluar di Kongres A.S. pada tahun 1993, selepas perjuangan panjang menuntut hak berpakaian lebih bebas.
  • Di Afrika Selatan semasa zaman sistem aparteid, terdapat undang-undang sosial ketat yang turut mengawal cara berpakaian wanita bukan kulit putih. Wanita kulit hitam ditegah memakai seluar dalam banyak kawasan awam, kerana ia dianggap menentang nilai feminin yang ditentukan rejim kulit putih.

___

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Bila nasihat tidak dihiraukan… Ayah sanggup tanam patung di kubur demi anak

“Aku cuma nak anak aku balik…” Itu luahan seorang ayah yang akhirnya menyesal seumur hidup selepas memilih jalan salah demi...

More Articles Like This