Tragedi runtuhnya empangan ini jadi pencetus kepada undang-undang aneh yang membenarkan perkahwinan dengan orang yang sudah mati

Dari Penulis

Tersembunyi di kaki bukit di bandar Fréjus di selatan Perancis, berhampiran pantai French Riviera, masih kelihatan sisa runtuhan Empangan Malpasset.

Empangan in dibina pada 1954 bertujuan untuk mengawal aliran Sungai Reyran dan menyimpan air bagi kegunaan pertanian dan keperluan domestik.

Sungai Reyran sepanjang 27 kilometer adalah sungai bermusim. Bukan sepanjang tahun mengalirkan air. Kebanyakan masa sungai ini kering. Hanya pada musim luruh sehingga musim sejuk, antara Oktober sehingga Mac sewaktu musim hujan lebat dan ribut melanda Mediterranean, barulah sungai ini akan kelihatan. Ia akan bertukar dari sungai yang kering kontang kepada arus deras yang mengganas.

Sisa runtuhan empangan Malpasset dan sungai yang kering.

Idea untuk membina sebuah empangan dilihat sebagai jalan penyelesaian untuk menakluk sungai ini dan memastikan bekalan air cukup sepanjang tahun.

Tugas membina empangan ini diberikan kepada Andre Coyne, seorang jurutera empangan paling berpengaruh di Perancis pada pertengahan abad ke-20. Beliau dikenali sebagai pakar dalam reka bentuk empangan lengkung (empangan yang dibina melengkung ke arah hulu seperti bentuk busur).

Banyak empangan binaan Andre sebelum itu berjaya menjadikannya tokoh rujukan utama kerajaan Perancis. Andre juga pernah dilantik sebagai ketua Jabatan Kejuruteraan Empangan Besar Perancis. Sepanjang kerjayanya, Andre telah membina empangan di 14 buah negara termasuk Portugal, India, Maghribi, Zimbabwe dan Kanada.

Andre Coyne, jurutera empangan paling berpengaruh di Perancis.

Pembinaan Empangan Malpasset bermula pada 1952 dan siap pada 1954. Pengisian takungan air pula dijalankan secara berperingkat, proses yang boleh mengambil masa bertahun-tahun lamanya kerana Sungai Reyran hanya mengalir selama tiga bulan dalam setahun. Lima tahun selepas beroperasi, paras air di empangan ini masih berada pada tahap 7 meter di bawah puncak empangan apabila kebocoran kecil mula muncul di tebing kanan. Ia sebenarnya petanda bencana dahsyat bakal tiba.

Empangan Malpasset.

Penghujung tahun 1959, hujan turun begitu lebat menyebabkan paras air di empangan itu naik hampir 5 meter. Daripada membuka pintu limpahan untuk melegakan tekanan air, pihak berkuasa memilih untuk membiarkan empangan itu penuh. Jika pintu dibuka, ia boleh mengganggu kerja-kerja pembinaan lebuh raya yang terletak satu kilometer di hilir sungai.

Tanpa mereka sedar, tindakan itu telah mengundang bencana. Pada malam 2 Disember 1959, air akhirnya mencapai puncak empangan untuk kali pertama.

Dinding empangan yang nipis mulai runtuh kerana tekanan air. Akhirnya, sekitar pukul 9.00 malam, empangan itu pecah melepaskan kira-kira 50 juta meter padu air.

Ia menghasilkan gelombang besar sehingga setinggi 40 meter yang membantai kawasan di lembah sungai Reyran. Bandar terdekat dihanyutkan air dalam masa beberapa minit. Rumah, jalan, landasan kereta api dan rangkaian telefon serta elektrik semua musnah.

Kesan air itu juga turut membawa serpihan konkrit seberat sehingga 600 tan yang dihanyutkan sehingga satu batu jauhnya. Lebih 400 nyawa terkorban dan 7,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Empangan sebelum pecah.

Disebabkan tragedi ini, Andre Coyne turut berduka. Masakan tidak, dalam puluhan empangan yang direka dan diselianya, hanya satu empangan yang runtuh iaitu Empangan Malpasset. Jurutera utama empangan ini dilanda kesedihan mendalam dan meninggal dunia lebih kurang setahun selepas tragedi ini.

Punca utama empangan ini runtuh kerana beberapa faktor. Antaranya kerana hujan lebat yang luar biasa. Kegagalan struktur akibat masalah geologi juga salah satu puncanya.

Tragedi ini telah mencetuskan perubahan besar dalam undang-undang keselamatan empangan di Perancis. Penilaian geologi menjadi perkara yng diwajibkan sebelum pembinaan sesebuah empangan.

Namun, ada satu undang-undang yang dianggap pelik turut wujud yang berasaskan kepada tragedi ini.

Perkahwinan Selepas Kematian

Selepas runtuhnya empangan ini, lahir undang-undang baru di Perancis yang menghalalkan perkahwinan antara pasangan hidup dan yang sudah mati. Kedengaran aneh, bukan?

Begini, selepas Empangan Malpasset runtuh, banyak nyawa yang terkorban. Salah seorang mangsa ialah Andre Capra, seorang lelaki muda yang sudah bertunang dengan Irene Jodart.

Sewaktu kejadian, Irene sedang hamil. Apabila Andre terkorban, Irene tetap mahu meneruskan perkahwinan dengan tunangnya yang sudah meninggal. Kisahnya mendapat perhatian Presiden Perancis ketika itu, Charles de Gaulle, yang kemudian memerintahkan pihak berkuasa meneliti kemungkinan membolehkan perkahwinan itu tetap berlaku walaupun pasangannya telah mati.

Hasilnya, dalam masa sebulan selepas tragedi runtuhan empangan itu, Majlis Nasional Perancis telah meluluskan undang-undang baru yang membenarkan Presiden Perancis memberi kebenaran untuk perkahwinan seperti ini. Namun, ia hadir dengan syarat.

Antaranya, ada bukti jelas bahawa pasangan itu memang bercadang untuk berkahwin sebelum kematian berlaku. Ibu bapa atau waris si mati juga bersetuju dengan perkahwinan tersebut.

Ya, undang-undang ini secara langsung wujud kerana kematian Andre Capra dalam tragedi empangan Malpasset. Irene Jodart menjadi pasangan pertama yang berkahwin secara sah dengan orang yang sudah mati. Majlis dilakukan secara formal selepas mendapat kebenaran Presiden.

Tragedi runtuhan empangan ini telah mewujudkan undang-undang baru di Perancis yang mengiktiraf perkahwinan antara pasangan yang hidup dan yang sudah meninggal dunia.

Sejak itu, undang-undang ini membolehkan sesiapa sahaja yang kehilangan tunang atau pasangan mereka sebelum sempat berkahwin, dengan bukti yang cukup, untuk mengadakan perkahwinan secara pos-mortem.

Sejak itu juga, ratusan janda dan duda telah memohon untuk berkahwin dengan pasangan mereka yang sudah meninggal dunia. Mereka perlu menghantar permohonan kepada Presiden, yang kemudian diteruskan kepada Menteri Kehakiman, dan seterusnya ke pejabat pendakwa di kawasan tempat tinggal pasangan yang masih hidup.

Jika pendakwa mendapati pasangan tersebut memang bercadang untuk berkahwin sebelum kematian berlaku, dan ibu bapa si mati bersetuju, cadangan itu akan dihantar semula ke Presiden untuk ditandatangani, menjadikan perkahwinan tersebut sah secara rasmi.

Setiap tahun, pihak berkuasa Perancis menerima kira-kira 50 permohonan, dan sekitar 20 daripadanya diluluskan.

Selain nilai sentimental, perkahwinan ini juga berperanan secara praktikal dari sudut sebagai pengesahan perkahwinan untuk memastikan anak-anak diiktiraf sebagai waris sah si bapa yang telah meninggal. Amalan ini sebenarnya telah bermula sewaktu Perang Dunia Pertama, apabila teman wanita yang berduka ingin memastikan anak-anak mereka diiktiraf secara sah selepas kematian bapa mereka di medan perang.

Kebanyakan majlis perkahwinan pos-mortem ini diadakan secara kecil-kecilan. Biasanya, wanita akan berdiri di sisi gambar pasangan yang sudah meninggal, manakala datuk bandar akan mengetuai upacara dengan membaca dekri Presiden menggantikan lafaz perkahwinan si mati.

__


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Bila nasihat tidak dihiraukan… Ayah sanggup tanam patung di kubur demi anak

“Aku cuma nak anak aku balik…” Itu luahan seorang ayah yang akhirnya menyesal seumur hidup selepas memilih jalan salah demi...

More Articles Like This