UMAT Islam dinasihatkan supaya menyemak terlebih dahulu kesahihan sebarang tawaran perkhidmatan pakej upah haji atau badal haji yang diiklankan mana-mana agensi pelancongan mahu pun individu bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Mustakim Mohamad berkata, ada segelintir pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan mengiklankan pelbagai tawaran pakej badal haji secara meluas.
Menurut beliau, perkara itu berlaku setiap tahun menjelang permulaan operasi haji.
Mustakim memberitahu, tawaran pakej badal haji itu diiklankan sama ada secara fizikal di pelbagai premis termasuk surau dan masjid atau pemasaran tular di platform media sosial.
“Kebanyakan iklan pakej badal haji ini ditawarkan dengan harga yang tidak munasabah dan lebih rendah daripada kos pakej haji yang ditetapkan Kerajaan Arab Saudi kepada penduduk tempatan.
“Kerajaan Arab Saudi telah menetapkan setiap indviidu dari luar negara perlu mendapatkan visa haji untuk melaksanakan ibadah haji manakala penduduk tempatan pula diwajibkan untuk memiliki permit kebenaran daripada pihak berkuasa Arab Saudi.
“Bukan semua penduduk tempatan yang memohon akan berjaya diberi permit haji,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: Mustakim Mohamad dilantik Pengarah Urusan dan CEO Tabung Haji
Mengulas lanjut, Mustakim memberitahu, harga terendah yang ditetapkan untuk pakej bagi bagi tahun 1446H yang lalu bagi penduduk tempatan bermula sekitar SR10,000 (RM11,300) yang merangkumi permit kebenaran serta khemah di Masyair tetapi tidak termasuk kos-kos lain yang perlu ditanggung.
Beliau menjelaskan, dengan kos yang dikenakan terhadap penduduk tempatan itu, adalah mustahil khidmat badal haji boleh dilakukan di bawah kos berkenaan.
Malah, Mustakim berkata, penduduk tempatan Arab Saudi juga hanya dibenarkan untuk menunaikan haji sekali untuk setiap lima tahun.
Selain itu, katanya, terdapat unsur penipuan berlaku semasa pelaksanaan haji di mana nisbah jumlah pelaksana dan jumlah peserta badal haji adalah tidak seimbang di mana ada yang mengambil upah badal haji sehingga 200 orang untuk seorang pelaksana.
“TH juga ingin menekankan bahawa Kerajaan Arab Saudi telah melaksanakan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat di mana sekiranya jemaah haji ditangkap menggunakan visa atau permit yang tidak sah akan berdepan hukuman denda, penjara dan akan disenarai hitam daripada memasuki negara itu untuk tempoh beberapa tahun.
“Justeru, rakyat Malaysia perlulah bijak untuk menilai tawaran perkhidmatan sehingga serendah RM1,500 yang diiklankan agar tidak tertipu.
“TH menyarankan kepada mereka yang ingin melaksanakan badal haji supaya tidak mudah mempercayai iklan penyediaan perkhidmatan badal haji secara komersial bagi mengelak ditipu pihak tidak bertanggungjawab,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

