Lebih 27,000 murid keciciran, bumiputera paling ramai – KPM

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

SERAMAI 27,122 murid daripada 5.153 juta murid sekolah di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan (KPM) dikesan keciciran sama ada di peringkat rendah atau menengah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberitahu, jumlah tersebut melibatkan 1,496 murid keciciran di peringkat rendah manakala 25,626 untuk peringkat menengah.

Menurut Fadhlina, mengikut pecahan etnik pula, seramai 20,622 murid tercicir itu melibatkan golongan bumiputera manakala selebihnya bukan bumiputera.

Beliau berkata, KPM mendefinisikan keciciran sebagai murid warganegara Malaysia yang berada dalam sistem pendidikan (bersekolah) tetapi keluar daripada sistem sebelum tamat tempoh pendidikan.

“Bagi menangani isu ini secara lebih berfokus mengikut keperluan komuniti rentas etnik dan lokaliti, KPM memperkukuh pelaksanaan dasar sedia ada melalui pelbagai intervensi bersifat kontekstual.

“Pendekatan ini tidak berpaksikan faktor etnik atau lokaliti semata-mata, sebaliknya berteraskan prinsip kesamarataan akses pendidikan dan memberi keutamaan kepada murid yang memerlukan, tanpa mengira latar belakang mereka, demi memastikan tiada yang tercicir daripada sistem pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Fadhlina menjawab soalan V Sivakumar (PH-Batu Gajah) yang bertanyakan statistik keciciran pelajar B40 mengikut etnik serta bagaimana dasar sedia ada ditambah baik untuk memastikan intervensi lebih berfokus mengikut keperluan komuniti rentas etnik dan lokaliti.

Baca artikel lain: RM8.4 juta diperuntuk perolehan lencana Jalur Gemilang untuk 5.14 juta pelajar – KPM

Mengulas lanjut, Fadhlina memberitahu, beberapa inisiatif telah dilaksanakan KPM bagi mengatasi masalah keciciran murid termasuk peluasan Program Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) kepada Program Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) bagi memastikan akses pendidikan yang berterusan khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Sehingga kini, katanya, terdapat 30 sekolah program K9 di seluruh negara manakala lima buah sekolah K11 dilaksanakan di Pahang, Perak, Sarawak dan Selangor.

Selain itu, beliau berkata, KPM turut menyediakan 18 jenis bantuan persekolahan yang merangkumi bantuan khusus dan umum bagi meringankan beban kewangan keluarga serta menggalakkan murid kekal bersekolah.

Pada masa sama, Fadhlina memaklumkan, sokongan tersebut turut diperkukuh melalui pembangunan Sistem Pengesanan Murid KPM (SiPKM) dan Modul Serlahkan Keunggulan Diri (SUDI) sebagai panduan guru bimbingan dan kaunseling (GBK) dalam mengenal pasti, memantau dan membimbing murid berisiko cicir.

“KPM juga melaksanakan Program Sifar Murid Cicir (PSMC) secara rintis untuk mengesan punca keciciran di samping menggerakkan program outreach melalui pejabat pendidikan daerah dengan kerjasama komuniti setempat bagi membantu murid kembali ke sekolah.

“Bagi memastikan intervensi dilaksanakan secara bersepadu, KPM bekerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi melalui Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Keciciran Murid di Sekolah (JTMIKDMS).

“Di peringkat sekolah pula, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling berperanan membantu murid mengenal pasti potensi diri, minat dan kecenderungan sekali gus menyediakan sokongan awal agar mereka kekal dalam sistem pendidikan,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

PETRA peruntuk RM6.3 juta tangani banjir kilat George Town

LEBIH 39,550 penduduk di sekitar George Town dijangka mendapat manfaat daripada Projek Menaiktaraf Pam dan Kolam Takungan Banjir S18...

More Articles Like This