TENTERA Udara Dirajaya Malaysia (TUDM) mengunjurkan pesawat F/A-18C/D Hornet yang bakal dibeli dari Kuwait boleh dioperasikan sehingga tahun 2040 tertakluk kepada kerangka dan sistem, penyelengaraan serta penyesuaian dengan operasi semasa TUDM.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jangka hayat operasi pesawat F-18 termasuk yang dioperasikan oleh Kuwait Air Force (KAF), lazimnya adalah antara 6,000 hingga 8,000 jam penerbangan atau sekitar 30 tahun perkhidmatan bergantung kepada tahap penyelenggaraan, corak penggunaan dan program peningkatan keupayaan yang dilaksanakan.
Jelas beliau, pasukan Teknikal TUDM telah melaksanakan lawatan fizikal dan penilaian ke Kuwait pada Jun 2024.
Katanya, hasil penilaian mendapati pesawat F/A-18 KAF merekodkan jumlah jam penerbangan yang relatif rendah iaitu sekitar 1,500 hingga 3,000 jam berbanding pesawat F/A-18D TUDM sedia ada yang telah mencatat antara 4,000 hingga 6,000 jam penerbangan.
“Berhubung dengan kos peningkatan separuh hayat, pada masa ini TUDM belum merancang untuk melaksanakan apa-apa program pemanjangan separuh hayat ke atas pesawat F/A-18 KAF dalam tempoh terdekat.
“Hal ini memandangkan pesawat ini dilengkapi dengan perisian pemantauan 25X yang sama seperti pesawat F/A-18D TUDM sedia ada,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Sibu yang meminta Menteri Pertahanan menyatakan perincian jangka hayat tertinggal F-18 yang bakal dibeli oleh Malaysia dari Kuwait dan jangkaan kos peningkatan separuh hayat bakal dilaksanakan.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, TUDM kini sedang melaksanakan program naik taraf pesawat F/A-18D TUDM ke perisian pemantauan 29C yang dijangka siap pada penghujung 2026.
Katanya, kajian terperinci sedang dijalankan untuk menilai sama ada pesawat F/A-18 KAF juga wajar dinaik taraf ke standard yang sama.
Menurut beliau, penilaian fizikal penuh ke atas semua pesawat F/A-18 KAF dijangka akan dilaksanakan pada September 2025 bagi menentukan keperluan penilaian teknikal dan kos anggaran yang akan terlibat.
“Kementerian Pertahanan melalui TUDM akan memastikan setiap perolehan dan program penyelenggaraan dilaksanakan mengikut analisis kos-manfaat selaras dengan keperluan operasi semasa dan aspirasi Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55),” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

