Kehilangan misteri Bruno Manser, aktivis kulit putih yang memperjuangkan nasib kaum Penan di Sarawak

Dari Penulis

Nama Bruno Manser memang kurang dikenali, namun lelaki Eropah ini mempunyai kisah hidup tersendiri yang ada kaitan dengan suku kaum Penan di Sarawak.

Bruno Manser dilahirkan di Basel, Switzerland, pada 25 Ogos 1954. Merupakan anak sulung dari lima beradik, ibu bapanya mahu beliau menjadi doktor, malah Bruno pernah belajar perubatan secara tidak formal.

Bruno lebih dikenali sebagai seorang pemikir bebas. Ketika usianya 19 tahun, beliau dipenjarakan selama tiga bulan kerana menolak menyertai khidmat ketenteraan yang diwajibkan untuk lelaki di Switzerland.

Bruni menolak menyertai khidmat tentera kerana pegangannya terhadap ideologi tanpa kekerasan yang dipelopori Mahatma Gandhi. Selepas keluar penjara pada tahun 1973, beliau bekerja sebagai penggembala kambing dan lembu di padang rumput Alpine Switzerland.

Bruno Manser, aktivis kulit putih yang memperjuangkan suku Penan.

Bruno lebih suka meneruskan hidupnya dengan cara berdikari. Dia turut belajar tentang kesenian kraftangan dan perubatan tradisional. Dia juga lebih suka menghasilkan sendiri pakaian dan kasutnya, membela lebah serta mendaki gunung. Bruno juga pernah berkelana ke Thailand dan menghabiskan waktu selama enam bulan di negara Asia Tenggara.

Mencari Suku Penan

Pada tahun 1983, Bruno datang ke Terengganu, Malaysia, dan tinggal bersama sebuah keluarga tempatan. Setahun kemudian, beliau mengetahui tentang kewujudan suku nomad Penan di Sarawak.

Hatinya begitu ingin mengenali suku kaum terakhir yang hidup secara nomad di hutan hujan tropika Borneo itu. Lalu Bruno pergi ke Sarawak pada 1984 menggunakan visa pelancong dan menyertai ekspedisi orang kulit putih ke Taman Negara Mulu, sebelum mengembara lebih jauh ke pedalaman Sarawak.

Bruno bersama suku kaum Penan.

Bukan mudah untuk menemui masyarakat Penan yang hidup nomad di dalam hutan dan sering berindah randah. Dalam pencariannya itu, Bruno sesat, kehabisan makanan dan jatuh sakit akibat termakan pucuk beracun.

Akhirnya pada Mei 1984, beliau berjaya menemui suku Penan berhampiran hulu Sungai Limbang. Pada mulanya, kaum Penan mengabaikan kehadirannya. Tetapi apabila Bruno bersungguh-sungguh cuba untuk hidup bersama mereka, malah belajar dan bertutur bahasa Penan, akhirnya dia diterima oleh komuniti tersebut.

Kehidupan Bersama Penan

Bruno bukan sahaja mempelajari kemahiran hidup dalam hutan serta budaya dan bahasa Penan. Malah, dia turut mengubah penampilannya. Tiada lagi kemeja, seluar dan kasut.

Bruno memotong rambutnya seperti suku Penan. Dia turut memakai cawat, memburu menggunakan sumpit, serta makan primat, ular dan sagu – sama seperti gaya hidup suku Penan. Segala aktivitinya bersama suku kaum itu dicatatkan dalam diarinya.

Selama 6 tahun hidup bersama suku Penan, Bruno turut merubah penampilannya seperti kaum tersebut.

Di Barat, Bruno diejek sebagai ‘Tarzan Putih’, tetapi bagi masyarakat Penan, beliau dikenali sebagai “Laki Penan” (Lelaki Penan), tanda penghormatan komuniti itu kepadanya.

Bruno hidup bersama suku Penan selama enam tahun (1984 – 1990). Dia turut menghasilkan buku catatan bergambar, nota dan mengambil lebih 10,000 keping foto. Bruno turut merakam sejarah lisan daripada perbualannya bersama orang-orang tua Penan. Menurut Bruno, kaum Penan tidak pernah bergaduh atau berkelakuan ganas sepanjang beliau tinggal bersama mereka.

Pada masa yang sama, kegiatan pembalakan besar-besaran di Sarawak mula menjejaskan hutan tropika yang menjadi rumah kepada suku Penan. Komuniti itu turut terkesan dengan kehilangan hasil hutan, pencemaran air dan berkurangnya binatang buruan.

Bersama kaum Penan, Bruno menjadi orang yang lantang bersuara dan turut melakukan protes terhadap aktiviti pembalakan, Malah, dia juga mengatur sekatan jalan untuk menghalang syarikat pembalak. Semangatnya yang membara dalam membela nasib kaum Penan sehingga melakukan banyak perkara drastik menyebabkan Bruno menjadi perhatian bukan saja oleh orang Sarawak, malah juga masyarakat global.

Masuk Secara Haram Ke Sarawak

Selepas enam tahun bersama suku Penan, Bruno meninggalkan hutan dan kembali ke negara asalnya. Dia giat menyampaikan ceramah di luar negara dan berkempen untuk menghentikan pembalakan hutan, serta mengumpul dana melalui pertubuhan yang diasaskannya.

Bruno giat melakukan kempen dan protes untuk kaum Penan.

Dalam pada itu, Bruno kerap berulang alik ke Sarawak sekitar tahun 90-an, namun masuk dengan cara haram. Dia menyelinap masuk melalui jalan tikus di sempadan hutan Kalimantan untuk meninjau keadaan hutan serta membantu suku Penan.

Dalam salah satu cubaan menyelinap masuk ke Sarawak, Bruno dan rakannya hampir maut dihanyutkan balak ketika berenang menyeberangi Sungai Limbang pada waktu malam.

Pada 1990, beliau melancarkan Voices for the Borneo Rainforests World Tour bersama aktivis tempatan, Anderson Mutang Urud dan dua anggota Penan. Mereka menjelajah ke Australia, Amerika Utara, Eropah dan Jepun.

Antara aksi protes paling dikenali dilakukan Bruno ialah ketika Sidang Kemuncak G7 di London pada 17 Julai 1991, apabila beliau memanjat tiang lampu setinggi 30 kaki tanpa bantuan, mengikat dirinya dengan rantai sambil menggantungkan kain rentang tentang hutan Sarawak. Beliau ditahan polis tetapi dibebaskan tanpa dakwaan.

Tahun yang sama, beliau menubuhkan Bruno Manser Fonds (BMF) di Basel bagi memperjuangkan pemeliharaan hutan hujan dan hak masyarakat asli.

Bruno juga dikenali dengan aksi beraninya. Antaranya aksi terjun payung ke dalam stadium ketika Sidang Kemuncak Bumi Rio (1992), mogok lapar 20 hari di Tokyo, serta mogok lapar 60 hari di hadapan parlimen Switzerland untuk menuntut larangan import kayu tropika.

Pelbagai protes dilakukan Bruno.

Malah, Bruno pernah mendarat dengan paraglider di hadapan rumah bekas Ketua Menteri Sarawak sewaktu hari raya pada tahun 1999, setelah berjaya menyelinap masuk ke Kuching dengan mengubah penampilannya agar tidak dikenali.

Tindakan kontroversinya itu turut mendapat liputan media antarabangsa. Akibatnya, Bruno dipenjara sebelum dihantar pulang ke Switzerland.

Hilang Secara Misteri

Usaha Bruno turut mendapat perhatian tokoh dunia seperti Al Gore dan Putera Charles yang turut mengecam pembalakan berleluasa di Sarawak. Media antarabangsa seperti BBC, National Geographic, Newsweek, Time dan The New Yorker turut menyiarkan kisah Penan. Universal Studios dan Warner Bros juga pernah merancang filem tentang hidup Bruno, namun projek itu dibatalkan.

Bruno mulai putus asa apabila perjuangannya semakin lama semakin sukar dan menemui jalan buntu. Tambahan pula masyarakat Penan kian terhimpit sehingga tiada pilihan selain terpaksa menjual tanah mereka untuk sumber kewangan.

Kali terakhir Bruno dilihat adalah pada tahun 2000.

Tahun 2000 adalah kali terakhir kelibat Bruno dilihat sebelum hilang secara misteri. Pada Februari tahun itu, Bruno sekali lagi memasuki Sarawak seperti yang biasa dilakukannya, bersama beberapa orang rakan.

Namun, rakan-rakannya tidak dapat meneruskan perjalanan lebih jauh. Hanya Bruno dan dua orang rakan kaum Penannya yang terus berjalan menuju ke sempadan Kalimantan – Sarawak. Perjalanan itu mengambil masa selama dua minggu dengan menaiki bot, berjalan kaki serta turun naik bukit.

Dikatakan kali terakhir Bruno dilihat adalah pada 25 Mei 2000. Ketika itu, Bruno membawa beg galas seberat 30 kilogram dan mahu mendaki puncak Bukit Batu Lawi di Gunung Murud seorang diri. Selepas itu, kelibat Bruno tidak pernah lagi muncul.

Bukit Batu Lawi.

Usaha pencarian yang dilakukan termasuk oleh suku Penan tidak pernah menemui Bruno. Ada teori mengatakan Bruno mungkin jatuh semasa mendaki Bukit Batu Lawi, tapi tiada pengesahan kerana pasukan penyelamat tiada yang berani melakukan pencarian di situ kerana keadaan bukit batu kapur yang curam dan berbahaya.

Ada pula yang mengatakan mungkin lelaki itu jatuh gaung atau membunuh diri, juga tidak dapat disahkan kerana barang-barangnya serta mayat Bruno tidak pernah ditemui. Tak kurang juga yang membuat teori Bruno dibunuh kerana kelantangannya.

Setelah lima tahun tiada khabar dan segala usaha dilakukan tidak berhasil, Bruno Manser secara rasmi diisytiharkan meninggal dunia pada 10 Mac 2005 oleh mahkamah sivil di Basel-Stadt, Switzerland.

Apa pun teorinya, tiada siapa yang tahu apa sebenarnya berlaku kepada lelaki Eropah ini yang begitu cintakan suku Penan sehingga sanggup memperjuangkan hidupnya untuk masyarakat itu.

Kini, kebanyakan orang Penan sudah berhijrah dan menetap di bandar. Hanya segelintir yang masih mengamalkan budaya hidup nomad.

Suku Penan kini sudah ramai yang berhijrah dan tinggal di bandar.

Kisah hidup Bruno Manser, aktivis kaum Penan pernah difilemkan, bertajuk Bruno Manser – Stimme des Regenwaldes (Voice of the Rainforest) yang diterbitkan di Switzerland pada tahun 2019. Selain filem tersebut, ada juga beberapa dokumentari lain mengenai Bruno Manser dan perjuangan masyarakat Penan, antaranya yang pernah disiarkan di BBC, National Geographic Channel, serta dokumentari khas oleh Bruno Manser Fonds sendiri.

__

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Bila nasihat tidak dihiraukan… Ayah sanggup tanam patung di kubur demi anak

“Aku cuma nak anak aku balik…” Itu luahan seorang ayah yang akhirnya menyesal seumur hidup selepas memilih jalan salah demi...

More Articles Like This