Komitmen, ‘perang’ diplomatik Malaysia mendepani isu global

Dari Penulis

PENGLIBATAN serta usaha dan fokus berterusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menangani konflik di Gaza, baik dalam platform persidangan antarabangsa mahupun pertemuan ’empat mata’ bersama pemimpin dunia dalam siri lawatan atau kunjungan rasmi mengukuhkan peranan Malaysia membentuk masyarakat global yang hidup rukun damai, saling hormat-menghormati.

Penegasan Malaysia dalam isu Gaza cukup jelas dan konsisten, biarpun berdepan dengan pelbagai kemungkinan.

Ia juga sebagai bentuk peringatan kepada pemimpin dunia mengenai Gaza yang ketika itu perlu diambil perhatian serius, kerana melibatkan angka korban yang tinggi, kebuluran dan kesengsaraan, khususnya anak-anak kecil dan golongan wanita.

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Dr. Azmi Hassan memberitahu UtusanTV bahawa Perdana Menteri tak gentar mendepani pemimpin dunia dalam setiap perbincangan antarabangsa.

Ketika Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023, Perdana Menteri berbicara mengenai isu berkenaan di depan Presiden Joe Biden (Presiden Amerika Syarikat ketika itu).

“Ini adalah strategi nak mengingatkan dunia mengenai Gaza, perlu diberikan perhatian sewajarnya.

“Sehingga ke Sidang Kemuncak ASEAN, Perdana Menteri tetap beri perhatian kepada isu Gaza. Dan ini boleh dikaitkan bagaimana Malaysia selaku Pengerusi ASEAN menjadi pengantara dan berjaya mendapatkan gencatan senjata bagi kemelut Thailand-Kemboja.

“Bagi konflik Myanmar pula, pada Sidang Kemuncak ASEAN, Mei lalu, Perdana Menteri atau Malaysia menyarankan supaya diadakan Wakil Tetap Myanmar yang masih ditolak oleh junta tentera,” jelas beliau.

Azmi menambah, semuanya merupakan strategi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, tidak kira sama ada konflik itu berlaku ‘depan mata’ ataupun jauh, untuk kemakmuran bersama.

“DI Gaza umpamanya, atau di depan mata, Thailand-Kemboja dan juga isu yang berlarutan lama di Myanmar, Pengerusi ASEAN ambil peluang, bukan untuk campur tangan tetapi untuk memberi satu pendekatan baharu bahawa sebagai Pengerusi, kami mempunyai hak untuk menyatakan sesuatu tentang isu itu.

“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia mengambil peluang ini untuk meleraikan banyak isu dan masalah termasuk juga dalam isu di Laut China Selatan.

“Sebab itu dalam Deklarasi Kuala Lumpur 2045, Malaysia yang telah mendrafkan deklarasi itu menyatakan bahawa tidak boleh negara anggota ASEAN berbelah bahagi atau mengambil sikap berpihak kepada kuasa besar,” tegasnya.

Beliau menambah, isu di Laut China Selatan itu tidak dapat diselesaikan kerana ASEAN itu sendiri berpecah belah antara Amerika Syarikat (AS) dan China dalam hal ini.

Oleh yang demikian Pengerusi ASEAN telah menjalankan tugas dengan begitu baik.

“Bukan saya menyatakan itu kerana saya rakyat Malaysia tetapi itulah hakikatnya kalau dibandingkan dengan Pengerusi sebelum ini. Kita agak bimbang kerana Pengerusi ASEAN selepas ini iaitu Filipina mungkin akan lebih berpihak kepada AS,” katanya.

Mendepani semuanya itu beliau melihat bahawa Malaysia buat masa ini telah mempamerkan, terutama sekali dalam isu Thailand-Kemboja, Malaysia tidak mengetepikan kuasa besar, tidak berpihak kepada kuasa besar, tetapi memanggil kedua-duanya untuk mengambil bahagian dalam perbincangan gencatan senjata itu.

Baca artikel lain: PM hulur bantuan kepada pesakit kanser tahap 4

Jadi jelas bahawa ia satu hakikat yang perlu dikembangkan, diterjemahkan atau perlu diberitahu kepada rakyat bahawa sebagai Pengerusi ASEAN, dalam masa separuh penggal ini, Malaysia sudah berjaya melaksanakan tanggungjawab menerajui Asia Tenggara dengan baik.

Di sudut pandang lain, usaha-usaha Malaysia ini sememangnya mendapat pengiktirafan dunia, selaku pemudah cara proses perdamaian, baik di rantau ini mahupun melangkaui batas sempadan lain.

Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Edgard D. Kagan sebagai contoh menegaskan Malaysia memainkan peranan penting sebagai Pengerusi ASEAN dalam usaha mendamaikan Thailand dan Kemboja melalui mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) susulan ketegangan di sempadan kedua-dua negara.

Edgard berkata penganjuran mesyuarat berkenaan membuktikan kepimpinan Malaysia dalam mempertemukan kedua-dua negara berkenaan.

Ia bukan satu tugas mudah, terutama dalam isu berlarutan di Myanmar. Tugas menyatukan pihak yang berkonflik memerlukan daya usaha dan ‘perang’ diplomatik yang berhati-hati serta tertib.

Itu antara yang ditonjolkan Malaysia dan seharusnya difahami selain mendapat sokongan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian, bukannya mengeluarkan sindiran atau sinis dengan usaha-usaha berkenaan.

Penggal seterusnya Malaysia selaku Pengerusi ASEAN ini cukup getir bagi melestarikan apa yang telah diusahakan. Setidak-tidaknya ia mampu menampakkan kemampuan Malaysia dalam mendepani isu antarabangsa, khususnya Gaza.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Keperluan mempercepat peralihan tenaga di Malaysia

MALAYSIA perlu mempercepat peralihan tenaga kerana negara berdepan risiko krisis bekalan tenaga, ketidaktentuan harga bahan api global, tekanan subsidi...

More Articles Like This