Gusti merupakan salah satu bentuk hiburan sukan yang menggabungkan kekuatan fizikal, teknik perlawanan dan elemen penceritaan dramatik. Di atas gelanggang, para penggusti bukan sekadar bertarung untuk menang, tetapi juga memainkan watak. Ada yang menjadi wira, ada pula yang digeruni sebagai penjahat.
Dari Amerika Syarikat hingga ke Jepun, gusti memiliki gaya tersendiri. Namun di Mexico, gusti dikenali sebagai Lucha Libre. Ia bukan sekadar gusti, tetapi menjadi satu budaya dengan gaya unik di mana penggusti menggunakan topeng berwarna-warni, gerakan akrobatik yang memukau, serta tradisi yang telah diwarisi sejak beberapa dekad lalu.
Malah, ada kategori gusti wanita yang dipanggil sebagai luchadoras. Mereka bukan sekadar pengisi ruang di gelanggang, tetapi pejuang sebenar yang menentang stereotaip bahawa sukan ini hanya untuk lelaki. Luchadoras menjadi bukti bahawa wanita juga mampu berdiri sama gagah di tengah sorakan penonton.
Ia bermula sebagai satu pertandingan gusti jalanan yang mula diperkenalkan pada awal tahun 1900. Pada tahun 1933, acara gusti jalanan ini mula menjadi sukan popular dan dilabelkan sebagai satu fenomena baru dalam acara sukan di Mexico.
Meskipun ianya masih baru pada ketika itu, namun sukan tersebut berjaya menarik perhatian penduduk untuk meletakkannya sebagai sukan nombor satu di negara tersebut. Buat pertama kalinya pada tahun 1953, seorang penganjur gusti jalanan bernama Salvador Lutteroth, telah menyiarkan pertandingan berkenaan secara langsung melalui saluran televisyen di seluruh negara benua Amerika Selatan itu.
Selain disertai oleh majoriti kaum wanita, acara gusti jalanan ini turut menampilkan kelainan yang tersendiri melalui idea-idea kreatif daripada para peserta yang tampil dengan pelbagai gaya dan pakaian. Semuanya mirip seorang adi wira. Bagi mereka, penampilan seumpama itu penting untuk menyembunyikan identiti mereka daripada diketahui peminat.

Menurut seorang penggusti wanita yang dikenali sebagai Catrina, pertandingan gusti jalanan merupakan suatu acara sukan yang paling diminatinya. Katanya, minat terhadap sukan tersebut timbul ketika dia mempelajari ilmu seni mempertahankan diri bagi mengelak daripada menjadi mangsa bekas suami yang sering kali memukulnya.
Selepas itu, dia menjadi obsesif pada sukan gusti. Sewaktu usianya sudah mencecah 56 tahun, dia bukan sahaja berstatus suri rumah tangga sepenuh masa, malah turut menjadi ahli gusti amatur separuh masa dan telah 26 tahun menceburkan diri dalam pertandingan gusti jalanan. Bayangkan bagaimana nenek ini beraksi.
Menurut seorang lagi peserta gusti, Estrella Dorada, pertandingan gusti jalanan ini merupakan sejenis sukan yang kerap dipertandingkan. Berdasarkan jadual pertandingan, sukan jalanan ini tidak mengikut musim seperti sukan-sukan terkenal yang lain. Ia merupakan sejenis sukan yang istimewa dan tergolong dalam kategori sukan gusti yang dikhaskan untuk golongan suri rumah sahaja. Selain itu, acara gusti jalanan ini turut menawarkan hadiah yang lumayan iaitu wang tunai yang menjadi pendapatan sampingan bagi keluarganya.
Sementara itu di perkampungan yang dikenali Gornje Ljubinje, selatan Kosovo, terdapat satu lagi pertandingan gusti yang diadakan setiap lima tahun sekali. Acara sukan tersebut digelar sebagai ‘Gusti Minyak’.
Dalam pertandingan ini, ia melibatkan pertarungan di kalangan lelaki muda yang tinggal di perkampungan itu. Peserta yang menyertai pertandingan ini akan berlawan tanpa memakai baju. Badan mereka dilumurkan dengan minyak agar licin dan merupakan cabaran kepada pihak lawan. Kemudian, mereka akan bertarung satu lawan satu sehingga menjatuhkan pihak lawan sebelum diisytiharkan sebagai pemenang.

Menurut seorang penduduk setempat, Arif Kurtishi, lazimnya gusti minyak dipersembahkan semasa majlis berkhatan dilangsungkan. Ia disambut oleh sekelompok etnik Islam di kawasan ini sejak ratusan tahun yang lalu. Kebiasaannya, sambutan orang ramai menggalakkan. Jadi tidak hairanlah ia dipersembahkan selama 40 hari.
Sepanjang pertandingan ini berlangsung, usaha mengumpulkan derma juga diadakan. Derma ini akan digunakan untuk membantu keluarga miskin mengadakan majlis berkhatan untuk anak lelaki mereka.
Selain pertandingan gusti minyak yang paling menarik perhatian ramai, beberapa acara lain turut diadakan seperti persembahan muzik tradisional, tarian dan perlawanan tarik tali. Boleh dikatakan setiap kali pertandingan gusti minyak di adakan, suasananya seperti sebuah pesta yang sangat meriah.
___
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

