BOLEH dikatakan setiap hari, pasti saya akan menerima kenyataan media oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai individu-individu yang ditahan, direman atau didakwa kerana menyalahgunakan kuasa, rasuah, menyakau sana, menyakau sini.
Ini termasuk mereka yang didakwa membuat tuntutan palsu, ada yang melibatkan jutaan ringgit. Individu bersubahat dalam pelaburan palsu pun ada.
Pokok ceritanya, semua itu melibatkan duit orang awam, duit rakyat, duit orang perseorangan yang ‘dijarah’, disakau tanpa ada rasa bersalah.
Ada juga duit atau geran atau peruntukan telah diberikan namun projek, termasuk projek pembangunan untuk rakyat, tidak dibangunkan secara bermaruah.

Bagaikan hidup selama-lamanya, saya terfikir, mereka ini tak ingat matikah? Habis semuanya hendak dipenuhkan dalam kantung sendiri.
Saya juga terfikir, bagaimana dengan ahli keluarga mereka ini, anak-anak, yang ‘disumbat’ mulutnya dengan hasil haram.
Ada juga yang bermewah-mewah walhal yang ‘digadaikan’ demi wang haram adalah keselamatan negara yang juga keselamatan semua termasuk diri dan ahli keluarganya.
Gadai masa depan
Malah ada yang sanggup ‘menggadaikan’ nasib masa depan anak bangsa dengan hasil ‘suapan bawah meja’. Sepertinya tidak ada otak, ya begitulah.
Pihak berkuasa keselamatan pun tak terkecuali dicekup kerana amalan rasuah.
Saya suka memetik kuliah agama oleh pendakwah terkenal, Ustaz Najmul Khairi mengenai al-mizan atau timbangan yang Allah tegakkan pada hari kiamat, untuk menimbang amalan manusia.
Tegas ustaz, al-mizan ini jika kita pegang dan hayati sedalam-dalamnya, ia akan memandu hidup kita ke jalan yang baik, menurut segala ajaran Rasulullah SAW.
Al-mizan ini menyeluruh sifatnya dalam kehidupan manusia, lebih-lebih lagi apabila mereka yang dikurniakan rezeki menjadi pemimpin.
Neraca yang akan ‘dibongkarkan’ pada hari hitungan amalan ini sepatutnya menjadi peringatan, malu untuk berbuat kejahatan.
Tetapi, entah dari mana datangnya ‘kekuatan’ si penyakau ini untuk melawan segala apa yang dilarang oleh Allah SWT.
Peringatan untuk saya dan semua, terutama yang sudah dewasa dan terlalu dewasa, fikir-fikirkan kesan daripada apa yang kita lakukan ini.
Mungkin seronok dapat wang bertimbun, hasil kegiatan tidak sepatutnya, namun adakah ia mampu ‘menyogok’ akhirat dan mendepani al-mizan?
Saya bukanlah ustaz untuk berceramah soal syariah tetapi sebagai rakyat Malaysia, membenci amalan rasuah itu patut diterapkan sedalam-dalamnya kepada semua.
Semoga Malaysia aman sentosa, bebas daripada penyakau, perasuah dan perampok.

