SEBUAH lagi bot yang dalam misi Global Sumud Flotilla bagi menyampaikan bantuan kepada penduduk Palestin dilapor telah menjadi sasaran serangan dron, malam tadi.
Serangan dron ke atas kapal Alma yang turut dinaiki sukarelawan Malaysia itu telah diserang ketika berlabuh di perairan Tunisia.
Perkara itu dimaklumkan Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM), Ahmad Musa Al-Nuwayri dalam hantaran ringkas di Facebook, pagi ini.
“Terkini! Bot saya, Iylia dan Sul pula menjadi sasaran dron malam ini (waktu tempatan) ketika berlabuh di Tunisia.
“Alhamdulillah tiada kecederaan dilaporkan,” katanya dalam hantaran tersebut.
Sementara itu, salah seorang sukarelawan dikenali sebagai Cosme dalam rakaman video yang dimuat naik di Facebook Media Alkhair Malaysia memberitahu kejadian berlaku ketika dia memulakan syif malam sebelum terdengar bunyi pelik.
“Dron itu kemudian jatuh di atas bahagian atas dek kapal dengan bahan mudah terbakar. Keadaan bertukar kecoh dan kami segera padamkan api serta semua orang selamat,” katanya.
Baca artikel lain: Tunisia nafi serangan dron faktor kebakaran bot Global Sumud Flotilla, rokok mungkin jadi punca
Difahamkan, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11.21 malam waktu tempatan yang telah mengakibatkan kerosakan ke atas kapal tersebut.
Semalam, sebuah bot utama milik Global Sumud Flotilla dikenali sebagai ‘Family Boat’ dilapor telah mengalami serangan dron ketika berada di perairan Tunisia.
GSF dalam kenyataan memaklumkan, bot tersebut membawa ahli Jawatankuasa Pemandu GSF dan berlayar di bawah bendera Portugal.
Menurut GSF, kesemua enam penumpang dan kru berada dalam keadaan selamat walaupun berlaku kerosakan akibat kebakaran di dek utama dan ruang simpanan bawah dek.
Untuk rekod, Misi Global Sumud Flotilla merupakan inisiatif antarabangsa yang menghimpunkan aktivis dan sukarelawan dari lebih 40 negara, bertujuan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui laluan laut.
Serangan ini berlaku ketika flotila sedang bersiap untuk meneruskan pelayaran dari Tunisia ke Gaza.
Insiden ini turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat antarabangsa, dengan beberapa pihak menyeru agar keselamatan misi kemanusiaan seperti ini diberi perhatian serius.
GSF sebelum ini telah menyatakan komitmen mereka untuk menjalankan misi secara aman dan tanpa senjata, hanya membawa bekalan bantuan untuk penduduk Gaza yang terjejas akibat konflik berpanjangan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

