SK Magic Malaysia secara rasmi mengumumkan penjenamaan semula sebagai SK intellix Malaysia, menandakan transformasi besar daripada syarikat peralatan rumah kepada platform kesejahteraan berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Pengarah Urusan SK intellix Malaysia, Andy Kim berkata, perubahan nama itu adalah simbol kepada hala tuju baharu syarikat.
“Penjenamaan semula ini bukan sekadar pertukaran nama, tetapi titik permulaan era baharu. Kami berkembang daripada perniagaan peralatan rumah kepada sebuah platform kesejahteraan berasaskan AI dengan kesihatan, kelestarian dan inovasi sebagai teras utama,” katanya.
Identiti baharu ini membawa visi lebih luas, merangkumi teknologi pintar, inovasi berterusan dan kesejahteraan pengguna. Nama “intellix” menggabungkan maksud Intelligent (pintar), melambangkan kepintaran berasaskan AI, manakala huruf “X” melambangkan kemajuan tanpa had.
Seiring dengan identiti baharu, SK intellix Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), dengan sokongan Korea Environment Corporation (K-Eco). Kerjasama itu menyokong kerangka Polisi Perluasan Tanggungjawab Pengeluar (EPR) di bawah Blueprint Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal.
Sebagai pengiktirafan kepada komitmen terhadap amalan kelestarian, SK intellix Malaysia turut dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Majlis Ekonomi Kitaran bagi Sisa Pepejal (NCEC).
Selain itu, sebuah MoU tiga hala sedang dirangka bersama SWCorp dan K-Eco untuk mengukuhkan kerjasama serantau serta perkongsian amalan terbaik industri dalam pengurusan sisa dan sumber.
“Kelestarian bukan hanya istilah popular bagi kami, sebaliknya ia diamalkan di setiap peringkat operasi. Kami percaya impak sebenar bermula dengan akauntabiliti, dan kami bangga dapat memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan lestari Malaysia,” ujar Andy Kim.
SK intellix Malaysia dijadualkan membuat pembentangan pada sesi NCEC Oktober ini, di mana syarikat akan berkongsi strategi ekonomi kitaran, pencapaian ESG serta hasil alam sekitar yang terukur.
Dengan mengamalkan prinsip ekonomi kitaran serta menyokong pelaksanaan EPR, SK intellix Malaysia mengorak langkah sebagai peneraju inovasi lestari, memacu pertumbuhan industri yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar, masyarakat, dan negara.

