AKTIVIS dari Sweden, Greta Thunberg tiba di Greece bersama 160 lagi sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) selepas dibebaskan daripada tahanan Israel.
Aljazeera melaporkan, Kementerian Luar Israel memaklumkan pihak rejim telah membawa keluar 341 orang aktivis flotilla berkenaan yang dipintas minggu lalu ketika cuba membawa bantuan ke Gaza.
Dalam pada itu Kementerian Luar Greece mengesahkan bahawa 161 aktivis tiba dengan penerbangan ke Athens, semalam.
“Saya nak tegaskan, memang berlaku genosid (pembunuhan beramai-ramai),” tegas Thunberg dalam kenyataannya sebaik sahaja tiba di Athens, merujuk kepada tindakan ketenteraan zionis di Gaza.
Beliau memberitahu, sistem antarabangsa sememangnya telah mengkhianati rakyat Palestin dan tidak mampu menghalang jenayah perang paling dahsyat yang berlaku di Gaza.
“Apa yang kami cuba lakukan dengan Global Sumud Flotilla adalah untuk bangkit ketika dunia gagal melakukan kewajipan undang-undang mereka,” tegasnya.
Aktivis berusia 22 tahun itu didakwa didera oleh pasukan Israel ketika dalam tahanan.
Wartawan Turkiye dan peserta flotilla, Ersin Celik, sebelum ini memberitahu media tempatan bagaimana Thunberg telah ‘diseret di atas tanah’ dan ‘dipaksa mencium bendera Israel’.
Antara yang tiba di Athens ialah Rima Hassan, seorang Ahli Parlimen Eropah berketurunan Palestin-Perancis, yang melaporkan dirinya dipukul oleh polis Israel selepas flotilla itu dipintas.
“Saya dipukul oleh dua orang polis ketika mereka memasukkan saya ke dalam van,” katanya kepada AFP.

