AKTIVITI simpanan dan pelaburan yang dilakukan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) sememangnya berdasarkan prinsip syariah sejak ia ditubuhkan dari 1963.
Perkara itu ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, menepis persoalan mengenai cadangan semakan dan pindaan Akta Tabung Haji 1995 yang sedang dijalankan bertujuan mengubah TH daripada sebuah institusi simpanan konvensional kepada institusi pelaburan Islam.
Sebaliknya menurut beliau, cadangan semakan dan pindaan itu ialah memperkukuh tadbir urus TH untuk menjamin kemampanan kewangan jangka panjang.
“Beberapa pembaharuan sedang diperhalusi mengambil kira ketidakseimbangan risiko antara deposit jangka pendek dan strategi pelaburan jangka panjang,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengenai pindaan Akta Tabung Haji 1995.
Hassan mempersoalkan sama ada kerajaan bersetuju dengan cadangan Pengerusi Kumpulan TH supaya TH berubah daripada sebuah institusi simpanan konvensional kepada institusi pelaburan Islam.
Mohd Na’im berkata, TH sentiasa meletakkan kepentingan para pendeposit sebagai teras utama dalam operasi pengurusan dan model perniagaannya.
Sebagai institusi yang mempunyai mandat untuk menguruskan simpanan umat Islam bagi tujuan mengerjakan ibadah haji katanya, TH sentiasa menggiatkan usaha menambah baik tatakelola institusi haji negara.
Untuk itu jelasnya, cadangan pembaharuan memerlukan TH menyemak semula peruntukan-peruntukan sedia ada dalam Akta Tabung Haji 1995.
“Cadangan semakan dan pindaan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) juga dibuat dengan mengambil kira syor-syor daripada Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi memperkukuh lagi tadbir urus TH secara keseluruhan.
“TH sedang memperhalusi cadangan ini dengan teliti serta melaksanakan proses libat urus bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” katanya.
Beliau menambah, selaku agensi yang bernaung di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sebarang cadangan dan pengesyoran daripada pihak TH akan dibentangkan kepada Menteri (Hal Ehwal Agama) sebelum keputusan secara kolektif diambil supaya kepentingan dan kebajikan para pendeposit akan terpelihara.

