LAWATAN Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 antara lain bertujuan untuk berunding isu-isu mendesak khususnya berkaitan warga Gaza yang ditindas oleh rejim Zionis Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menafikan dakwaan bahawa undangan itu memberi isyarat Malaysia menyerah kepada AS.
Katanya, pertemuan dengan Trump boleh dimanfaatkan sepenuhnya dengan cara lebih diplomasi dan damai lebih-lebih lagi atas kapasiti tuan rumah ASEAN.
“Harus ada kebijaksanaan yang saya dan rakan-rakan mahu (adalah) damai, jangan dibunuh lagi anak-anak kita, jangan di apa-apakan lagi wanita di Gaza. “Ini bermakna atas nama ASEAN mengundang Trump apa salahnya runding, saya bukan menyerah saya nak runding,” katanya semasa menyampaikan ucap tama di Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.
Dalam pada itu, Anwar turut menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa lawatan tersebut menyifatkan lawatan tersebut seolah-olah menjual maruah negara kepada AS.
Perdana Menteri turut mengambil contoh Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman yang mengadakan rundingan bersama British untuk mencapai kemerdekaan.
“Tapi ini tidak boleh menghentikan ia jadi polemik politik seolah-olah kita jual maruah dan tunduk kepada Trump, Tunku nak merdeka bawa rombongan ke London jumpa siapa? Itu (British) penjajah yang kejam terhadap kita, mengaut kekayaan negara kita.
“Tetapi rundingan diplomatik penting kerana matlamatnya adalah kemerdekaan,” katanya.
Beliau turut menyingkap usaha diplomatik Malaysia dengan negara luar berhasil membawa pulang 23 aktivis Global Sumud Flotila (GSF) yang ditahan oleh Israel pada 2 Oktober dalam misi membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Anwar menjelaskan, usaha bagi membebaskan aktivis GSF bukan dijalankan secara bersendirian, sebaliknya melibatkan kerjasama pemimpin dan tokoh antarabangsa.
“Orang kata ‘apa guna AS sokong Israel’, tetapi kita nak cari penyelesaian, penyelesaian itu memerlukan kebijaksaan bukan kita menyerah kita mencari helah kebijaksanaan (yang) kita sebut diplomasi,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Luar menegaskan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN berkewajipan menjemput semua negara rakan dialog ASEAN demi menjamin prinsip berkecuali dan pemusatan ASEAN terus terpelihara.
Manakala Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan lawatan tersebut bukan jemputan dua hala Malaysia-AS.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

