Deepavali | Kisah di sebalik cahaya yang menerangi kegelapan

Dari Penulis

DALAM kitab Ramayana, terkandung hikayat yang menceritakan kisah Dewa bernama Rama. Maharaja Rama, pemerintah negeri Ayodhya, bersama ratunya Maharani Sita dan adindanya yang menjadi ketua medan tempur iaitu Lakshmana, kembali semula ke Ayodhya setelah 14 tahun hidup dalam buangan.

Kembalinya beliau disusuli dengan satu perang hebat yang menyaksikan Maharaja Rama membunuh raja raksasa Ravana yang sebelum itu telah menculik Maharani Sita.

Dalam peperangan itu, Rama dibantu raja monyet Hanuman. Setelah memperoleh kemenangan dan berjaya menyelamatkan isterinya, mereka ingin pulang ke Ayodha, tetapi bedepan kesukaran apabila suasana terlalu gelap kerana hari itu merupakan hari di mana kegelapan berada pada tahap paling tinggi.

Untuk membantu Rama dan isterinya pulang, masyarakat Hindu telah menyalakan lampu pelita di sepanjang jalan untuk menerangi laluan mereka dalam kegelapan.

Hikayat Maharaja Rama yang berperang dengan raja raksasa.

Begitulah serba sedikit kisah asal usul di sebalik perayaan Diwali atau Deepavali yang membawa maksud festival cahaya, yang membawa makna barisan lampu cahaya yang menerangi.

Ia suatu perayaaan bagi penganut agama Hindu menandakan kemenangan kuasa baik terhadap yang jahat dan ditunjukkan dalam erti cahaya yang menerangi kegelapan.

Dalam hikayat tersebut, oleh kerana Maharaja Rama bergerak dari India Selatan (Sri Lanka) ke kerajaannya di India Utara, maka dia merentasi bahagian selatan terlebih dahulu.

Inilah sebabnya perayaan ini disambut sehari lebih awal di India Selatan. Manakala di India Utara, perayaan ini disambut pada hari terakhir kalendar Vikram. Hari berikutnya menandakan tahun baru India Utara yang bergelar Annakut.

Selain itu, sambutan Deepavali juga untuk memperingati beberapa peristiwa penting. Antaranya ‘Naraka Chaturdasi’ yang disambut dua hari sebelum Deepavali. Ia peristiwa mengenang keinsafan Narakasura (juga dikenali sebagai Naragasuri), raksasa yang bijak dan berkuasa, namun menjadi takbur dan mencetuskan huru-hara.

Narakasura akhirnya mati di tangan isteri Dewa Krishna. Sebelum mati, Narakasura memohon maaf di atas kesalahannya dan meminta rakyat supaya mengambil iktibar dari kisah hidupnya.

Sambutan Deepavali ini mungkin agak berbeza di tempat-tempat lain. Di Malaysia, perayaan Deepavali disambut pada bulan ketujuh suria Hindu yang biasanya tiba pada bulan Oktober atau November. Penganut agama Hindu akan menghiasi kediaman dengan pelita kecil yang dikenali sebagai ‘diyas’.

Pada pagi Deepavali, penganut Hindu akan mandi dengan menyapu minyak bijan di atas kepala dan badan sebagai lambang penyucian. Kemudian, mereka akan sembahyang bersama keluarga sebelum memakai pakaian baru dan mengunjungi kuil, sebelum ke rumah sanak-saudara dan rakan-rakan.

Di pintu masuk rumah pula selalunya akan dihiasan dengan ‘kolam’, hiasan bungaan halus di atas lantai yang dibuat daripada bijirin berwarna warni.

Ia bukan sekadar hiasan, tetapi membawa maksud kerohanian dan sosial. Dipercayai dewa Lakshmi iaitu Dewi Kekayaaan dalam agama Hindu hanya akan mengunjungi rumah mereka yang mempunyai hiasan ‘kolam’ di pintu masuk rumah mereka.

Simboliknya perayaan ini dari sudut erti cahaya yang menerangi kegelapan. Sesuatu yang gelap akhirnya akan terang apabila munculnya cahaya. Kejahatan akan dikalahkan dengan kebaikan. Begitu juga dalam diri manusia, agar menyemai sifat yang baik dan mengatasi sifat negatif dalam diri sendiri.

Pada penganut agama Hindu yang meraikan pesta cahaya, kami ucapkan Selamat Hari Deepavali.

___________


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

“Saya bukan main jin!” Tok Dewata bongkar rahsia seni persembahan ‘Main Teri’

Nama Tok Dewata kembali menjadi bualan hangat apabila seni persembahan Main Teri yang melibatkan beliau tular di media sosial.  Namun...

More Articles Like This