SEORANG pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Land Rover ditahan bagi membantu siasatan susulan kemalangan membabitkan lima kenderaan di Lebuhraya Lembah Klang (NKVE), Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat memberitahu, pihaknya telah menerima laporan berhubung kemalangan itu pada pukul 11 pagi tadi.
Menurut beliau, siasatan mendapati kemalangan tersebut yang melibatkan dua lori dan tiga kereta berlaku kira-kira pukul 5.17 petang, Sabtu lalu.
Beliau berkata, siasatan awal telah dijalankan unit siasatan lebuh raya Zon Tengah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.
“Kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan jenis Land Rover berwarna hitam didapati dipandu secara melulu sebelum terbabas ke kanan jalan.
“Kemudian, sebuah lori datang dari arah belakang telah terlanggar beberapa kenderaan yang memperlahankan kenderaan susulan kemalangan pertama itu.
“Bertindak atas kejadian, seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun iaitu pemandu SUV Land Rover itu telah ditahan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: Lebih 800 pelawat China ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen
Mengulas lanjut, Shamsudin berkata, siasatan mendapati pemandu tersebut tiada sebarang rekod lampau.
Katanya, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pihak polis mengingatkan kepada semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak sebarang kejadian kemalangan.
“Polis juga tidak akan berkompromi kepada mana-mana pemandu yang memandu secara berbahaya serta akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang,” katanya.
Terdahulu, kejadian tersebut turut tular di media sosial menerusi video berdurasi 55 saat yang memaparkan SUV Land Rover itu dipandu secara melulu sebelum terbabas ke bahagian kanan jalan.
Video tersebut turut memaparkan sebuah lori datang dari arah belakang merempuh beberapa kenderaan yang memperlahankan kenderaan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

