SEJUMLAH 871 orang pelawat dari China ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dengan 418 daripadanya didapati menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS), untuk tempoh Januari sehingga 30 September tahun ini.
Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), peratusan ini hanyalah 0.013 peratus daripada keseluruhan ketibaan 3.45 juta pelawat China dalam tempoh tersebut.
“Kita memandang serius isu warga asing yang masuk ke Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial tetapi kemudian didapati bekerja atau menjalankan aktiviti perniagaan secara tidak sah di mana ia merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 11(7)(a), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Namun berdasarkan data rasmi, isu pelancong China yang menyalahgunakan kemudahan PLS untuk bekerja atau menjalankan aktiviti perniagaan di Malaysia adalah rendah berbanding kadar kemasukan pelawat dari negara itu,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
KDN menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mengenai langkah yang telah diambil oleh kerajaan agar mengawal warga China yang datang bekerja dan berniaga atas lawatan sosial yang kini telah menjejas pendapatan peniaga-peniaga dan kontraktor-kontraktor tempatan.
Kementerian itu menambah, pada 2024, jumlah ketibaan pelawat dari China ialah 3.95 juta orang.
Dalam tempoh yang sama katanya, hanya 1,009 orang warga China ditangkap atas pelbagai kesalahan imigresen dan daripada jumlah ini, 309 orang ditangkap kerana menyalahgunakan PLS untuk bekerja atau berniaga.
“Ini mewakili hanya 0.008 peratus daripada keseluruhan ketibaan pelawat China pada tahun tersebut,” katanya.
Namun demikian katanya, bagi memastikan isu penyalahgunaan pas dapat dikawal sepenuhnya, Jabatan Imigresen sentiasa melaksanakan penguatkuasaan secara berkala dan bersasar yang merangkumi operasi penguatkuasaan di 224 kawasan hotspot yang menjadi tumpuan warga asing.
Jelasnya, Jabatan Imigeresen turut melaksanakan operasi secara bersepadu dengan lain-lain agensi penguatkuasaan bagi memberi tindakan penguatkuasaan yang lebih holistik.

