Bila UPSR, PMR dihapuskan. Apa yang anak-anak nak capai?

Dari Penulis

Semakin ramai ibu bapa dan guru meluahkan kebimbangan melihatkan tahap penguasaan anak-anak. Malah ada ibu bapa yang tidak tahu di mana dan bagaimana pemahaman anak-anak terhadap satu-satu subjek, semuanya atas gred 1 hingga 6. Tapi boleh pakai ke alat ukuran itu?

Ramai yang mengakui, kanak-kanak hari ini seolah-olah semakin lemah dalam asas pembelajaran, bukan kerana mereka tidak bijak, tetapi kerana sistem yang semakin keliru.

Kalau dulu, ramai yang minta UPSR dan PMR dimansuhkan kerana kata mereka, anak-anak tak seharusnya ditekan dengan aspek pendidikan semata-mata. Katanya mahu  memberi tumpuan kepada pembelajaran holistik dan menilai pelajar secara menyeluruh.

Namun, dalam pelaksanaannya, ramai yang tertanya-tanya ke mana hala tuju sebenar pendidikan kita? Tanpa ukuran dan piawaian yang jelas, pelajar kini belajar tanpa sempadan objektif.

Akibatnya, ramai tidak tahu menilai tahap keupayaan diri, manakala guru pula kehilangan alat untuk menilai kemajuan sebenar murid. Iyalah, macam mana nak tahu kalau satu kelas ada 40 orang pelajar. Bagaimana nak ‘monitor’ seorang demi seorang?

Jika dahulu, peperiksaan dibuat supaya guru tahu menilai tahap pemahaman, sekarang hanya angguk dan faham. Kalau tak faham pun, buat-buat fahamlah.

Lebih membimbangkan, silibus yang diperkenalkan seolah-olah tidak selaras dengan keupayaan semasa kanak-kanak. Di tadika, contohnya, kita lihat anak-anak kecil yang masih bergelut dengan asas tambah dan tolak, sudah diperkenalkan kepada konsep darab dan bahagi.

Bukan sahaja mereka keliru, malah keyakinan diri mula merosot. Dalam usia yang sepatutnya penuh dengan penerokaan dan keseronokan belajar, mereka sudah berasa gagal.

Dalam pada itu, sistem pembelajaran yang kononnya berorientasikan “pembelajaran kendiri” dan “pentaksiran berterusan” sering kali menjadi beban tambahan kepada ibu bapa.

Tugasan yang diberi untuk dilakukan di rumah sebenarnya memindahkan tanggungjawab guru kepada keluarga. Tidak semua ibu bapa mampu membantu, apatah lagi dalam keluarga yang kedua-dua ibu bapa bekerja. Maka wujudlah jurang baharu antara pelajar yang mendapat sokongan rumah yang kukuh dengan mereka yang tidak.

Pendidikan seharusnya membina asas yang kukuh  bukan hanya dalam akademik, tetapi dalam pemikiran dan emosi. Namun, apabila terlalu banyak perubahan berlaku tanpa penilaian mendalam, generasi yang menjadi mangsa ialah anak-anak kita sendiri.

Mereka membesar dalam sistem yang tidak pasti, dengan pelajaran yang tidak konsisten dan piawaian yang berubah-ubah. Kini mahu ditambah lagi subjek dalam silibus.

Kita tidak menolak keperluan reformasi pendidikan. Dunia berubah dan sistem pendidikan harus menyesuaikan diri. Tetapi perubahan mesti berasaskan kajian, bukannya trend.

Setiap tahap umur mempunyai keperluan kognitif berbeza. Seorang kanak-kanak berumur enam tahun tidak sepatutnya dibebankan dengan konsep matematik kompleks hanya kerana sistem ingin “mendahului masa”. Berilah mereka peluang untuk benar-benar kenal asas dahulu. Kukuhkan apa yang penting, bukan ‘main taram’ sumbat semuanya dalam satu masa.

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita menilai semula apa makna “kejayaan” dalam pendidikan.

Adakah ia sekadar keupayaan menghafal fakta tanpa kefahaman mendalam? Atau kemampuan untuk berfikir, berkomunikasi dan menyelesaikan masalah kehidupan sebenar? Tanpa asas yang kukuh, semua cita-cita besar ini akan runtuh.

Anak-anak kita bukan bahan eksperimen pendidikan. Mereka adalah masa depan negara. Jika hari ini kita biarkan mereka keliru dalam sistem yang tidak konsisten, kelak kita akan melahirkan generasi yang bijak di atas kertas, tetapi rapuh di dunia sebenar.

Sebelum terlambat, kembalilah kepada asas, biar anak-anak belajar ikut tahap, biar guru mengajar dengan bimbingan yang jelas dan biar sistem menilai dengan adil. Pendidikan bukan tentang siapa cepat pandai, tetapi siapa yang benar-benar faham.

Sistem yang berjaya kenalah dikekalkan dan ditambahbaik. Bukannya ditukar sesuka hati tanpa penilaian pihak terlibat.

Dan tidak salah meraikan anak-anak cemerlang. Mereka berkorban masa dan tenaga untuk capai kejayaan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

64 projek pembangunan semula sekolah daif siap sejak 2025

SEBANYAK 64 projek pembangunan semula sekolah daif telah berjaya disiapkan di seluruh negara sejak tahun 2025 hingga suku kedua...

More Articles Like This