Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi berorientasikan masa depan apabila menganjurkan Academia–Industry Collaboration (AIC) 3.0 2025: Celebrating UPTM Students’ Excellence and Future Career.
Program strategik itu menjadi wadah penting dalam memperkukuh hubungan sinergi antara dunia akademik dan industri, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui pendedahan kepada jaringan profesional serta peluang kerjaya yang lebih meluas.
Naib Canselor UPTM, Prof. Madya Dr. Sharifah Syahirah Sy. Shiekh berkata, AIC 3.0 bukan sekadar platform jaringan industri, malah turut meraikan kecemerlangan akademik pelajar UPTM yang cemerlang dalam bidang masing-masing.

“Melalui penganjuran AIC 3.0, pelajar berpeluang meneroka prospek kerjaya melalui Pameran Kerjaya yang menghimpunkan 17 syarikat terkemuka, menawarkan pelbagai peluang pekerjaan, latihan industri dan sesi temu duga terbuka.
“Lebih bermakna, program ini turut menyaksikan pemeteraian 30 kerjasama strategik antara UPTM, rakan industri serta universiti antarabangsa, yang memperkukuh jaringan global serta memperkasa sinergi dunia akademik dan industri.
“Kebolehpasaran graduan bukan bergantung kepada keputusan akademik semata-mata, namun bagaimana graduan membawa diri dan latihan praktikal yang diperoleh semasa menuntut turut mempengaruhi peluang pekerjaan,” katanya.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) merangkap Pro-Canselor UPTM, YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, yang menegaskan komitmen MARA untuk terus menjadi pemangkin utama pembangunan pendidikan tinggi berasaskan nilai ilmu, inovasi dan keusahawanan.
Menurut Sharifah Syahirah lagi, program tersebut diperkenalkan sejajar dengan keperluan negara untuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) yang semakin mendapat permintaan tinggi di peringkat nasional dan global.
“Program ini menawarkan dua laluan pengkhususan utama iaitu AI in Business dan AI for Big Data. Pelajar akan didedahkan kepada asas sains komputer dan teori AI sebelum memilih laluan pengkhususan masing-masing,” katanya lagi.
Beliau menambah, pendekatan kurikulum yang berpaksikan industri akan memastikan pelajar bukan sahaja memahami teori, tetapi turut menguasai aplikasi praktikal AI dalam pelbagai sektor, sejajar dengan aspirasi negara menuju ekonomi digital.
“Komitmen UPTM Adalah menyediakan laluan mudah untuk lepasan graduan dengan menyediakan modul pendidikan dan latihan yang menepati kehendak pasaran. Disebabkan itu kami sentiasa menjalin kerjasama rapat dengan industri agar graduan dapat melihat sendiri potensi mereka,” jelasnya.
Majlis tersebut turut menyaksikan pemeteraian kerjasama strategik antara UPTM dan syarikat gergasi teknologi termasuk MariaDB, IBM Malaysia Sdn. Bhd., serta Crest Infosolutions Sdn. Bhd., selain penglibatan universiti antarabangsa dalam bidang kecerdasan buatan.

Sementara itu, Majlis Apresiasi Siswa (MAS) turut diadakan bagi mengiktiraf kecemerlangan 640 pelajar yang menerima Anugerah Dekan bagi Sesi Julai 2025 (0725) dan Disember 2024 (1224).
Pengiktirafan tersebut menjadi simbol penghargaan terhadap usaha dan komitmen pelajar selain menyuntik semangat kepada seluruh warga UPTM untuk terus mencapai kecemerlangan.

