PERGERAKAN Pemuda UMNO mempersoalkan langkah kerajaan mengekalkan amalan membenarkan arak untuk dihidangkan bagi acara awam yang diadakan di kawasan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan, pihaknya kekal dengan pendirian asal Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tempat pendidikan tidak seharusnya dibenarkan menjadi lokasi menghidangkan minuman beralkohol.
Beliau menegaskan, langkah itu juga tidak terkecuali kepada mana-mana tempat pendidikan.
Muhamad Akmal turut meminta penjelasan kerajaan mengapa pendirian asal Perdana Menteri itu tidak diguna pakai.
“Adakah pihak kerajaan menganggap bahawa minuman keras itu boleh mendatangkan kebaikan kepada rakyat baik dari segi kesihatan mahu pun sosial? Jika ada maka boleh nyatakan juga, mungkin rakyat selama ini tidak sedar akan kebaikan minuman keras.
“Kes pemandu mabuk langgar orang masih lagi tidak selesai dengan baik dan rakyat mengharapkan satu langkah yang tuntas untuk mendidik tentang bahaya minuman keras untuk diajar di sekolah.
“Tetapi rupanya tempat yang dikatakan mendidik juga kerajaan bagi tempat minum arak,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Baca artikel lain: Guan Eng bidas Perdana Menteri isu larangan alkohol dalam kawasan sekolah
Mengulas lanjut, Muhamad Akmal turut menegaskan supaya kerajaan tidak membuat keputusan yang salah untuk generasi masa depan hanya semata-mata kerana takut kehilangan undi.
“Nak minum arak ke, nak mabuk sampai berbuih mulut ke, pergi cari tempat lain!
“Jangan lahirkan generasi seperti menteri yang kaki mabuk itu!,” katanya.
Khamis lalu, Perdana Menteri membidas penganjuran pesta arak di kawasan sebuah sekolah menengah kebangsaan di Ipoh pada 27 September lalu dan menegaskan di Dewan Rakyat bahawa keutamaan adalah memastikan minuman beralkohol tidak dihidangkan di kawasan sekolah.
Beliau berkata, langkah itu bukan bertujuan menyekat hak masyarakat bukan Islam tetapi bagi memartabatkan sekolah sebagai institusi pendidikan untuk kanak-kanak.
Semalam, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memberitahu, Jemaah Menteri memutuskan bahawa amalan dan garis panduan sedia ada kekal terpakai berhubung penyajian arak dalam sebarang penganjuran acara di dewan sekolah.
Fahmi berkata, tiada sebarang perubahan terhadap garis panduan sedia ada.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan kandungan garis panduan tersebut.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

