PEMIMPIN-PEMIMPIN ASEAN akan membincangkan usaha-usaha untuk memperkukuh integrasi serantau, merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan ketersambungan ASEAN pada Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, esok.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang terdiri daripada Sesi Pleno dan Sesi Pemukiman itu akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Wisma Putra, pemimpin ASEAN yang berkumpul selama tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu juga akan memberi tumpuan kepada isu-isu berkaitan pembangunan Komuniti ASEAN dan hubungan luar rantau ini pada Sesi Pleno.
Bagi hubungan luar, kata Wisma Putra, pemimpin akan membincangkan usaha untuk memperkukuh perpaduan dan Kepusatan ASEAN.
Pada masa sama, perbincangan juga akan memberi tumpuan kepada usaha memperkasa komitmen ASEAN terhadap sistem multilateralisme berasaskan peraturan dalam landskap geostrategik global yang semakin mencabar.
“Kanada dan Kesatuan Eropah (EU) juga akan berkongsi pandangan mereka mengenai usaha untuk terus mengukuhkan dan memperdalam hubungan dialog masing-masing dengan ASEAN.
“Sementara itu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) akan memberi taklimat kepada para pemimpin mengenai penilaian makroekonomi global terkini, implikasi dasar terhadap ASEAN serta peluang memperkukuh kerjasama IMF-ASEAN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semasa Sesi Pemukiman pula, Kementerian Luar memberitahu, pemimpin ASEAN akan menilai pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara (5PC) mengenai Myanmar serta hala tuju dalam menangani krisis politik dan kemanusiaan di negara tersebut.
“Selain itu, pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” katanya.
Malaysia selaku Pengerusi ASEAN menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” di KLCC dari 26 hingga 28 Oktober 2025.
Sidang kemuncak ini merangkumi Sidang Kemuncak ASEAN, Sidang Kemuncak ASEAN Campur Satu di antara ASEAN dan tujuh Rakan Dialog ASEAN, iaitu Australia, China, India, Jepun, Republik Korea, Rusia dan Amerika Syarikat (AS), serta Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-New Zealand menandakan 50 tahun ulang tahun hubungan dialog antara ASEAN dan New Zealand.
Majlis pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dijadual pada 26 Oktober. Ia akan dihadiri semua pemimpin ASEAN termasuk Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta dan Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmao selaku tetamu Pengerusi ASEAN, serta tetamu jemputan lain.
Semasa majlis pembukaan itu, upacara Menandatangani Deklarasi Penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN akan diadakan bagi menandakan keanggotaan negara tersebut sebagai Negara Anggota ASEAN ke-11.
Dalam Sidang Kemuncak ASEAN Campur Satu, para pemimpin akan menilai kemajuan hubungan dialog dan hala tuju masa depannya, serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa.
Baca artikel lain: Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 simbol peranan aktif, kepimpinan Malaysia – PMO
Antara topik yang akan dibincangkan termasuk perdagangan dan pelaburan, ketahanan rantaian bekalan, pendigitalan, tenaga boleh diperbaharui, pertumbuhan hijau serta isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, menurut kementerian itu.
Tahun ini turut menandakan ulang tahun ke-50 hubungan dialog ASEAN-New Zealand. Semasa Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-New Zealand, para pemimpin dijangka mengumumkan penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) ASEAN-New Zealand.
Sementara itu, Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga (APT) pada 27 Oktober akan menghimpunkan pemimpin ASEAN, China, Jepun dan Korea Selatan bagi menilai kemajuan kerjasama di bawah rangka kerja APT serta membincangkan hala tuju masa depannya, dengan tumpuan kepada ekonomi digital, kerjasama maritim, tenaga, keterhubungan, kesihatan dan pendidikan.
“Para pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama. Sidang ini turut melibatkan taklimat oleh tetamu Pengerusi, iaitu Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) dan Majlis Perniagaan Asia Timur (EABC), mengenai prospek makroekonomi dan kewangan serantau serta pertumbuhan ekonomi rantau ini,” menurut Wisma Putra.
Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-20 yang akan diadakan pada 27 Oktober akan menghimpunkan semua 19 peserta termasuk negara anggota ASEAN, Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat.
Menurut Wisma Putra, sidang itu akan meneliti pencapaian EAS sempena ulang tahun ke-20 dan menilai kemajuan kerjasama dalam bidang strategik, politik dan ekonomi, dengan matlamat memupuk keamanan, kestabilan serta kemakmuran di rantau Asia Timur.
Sidang itu turut akan dihadiri oleh tetamu Pengerusi ASEAN, iaitu Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, masing-masing sebagai Pengerusi BRICS dan G20.
Selain Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, Malaysia turut menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) ketiga pada 26 Oktober serta Sidang Kemuncak Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) ke-5 pada 27 Oktober.
Kesemua sidang ini didahului oleh pelbagai mesyuarat di peringkat Menteri Luar, Menteri Ekonomi dan pegawai kanan dari 22 hingga 25 Oktober.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan mencerminkan tekad serta komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh agenda integrasi ASEAN dan memajukan visi bersama ke arah keamanan serta kemakmuran serantau.
Sidang ini juga menandakan kemuncak Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 sebelum tanggungjawab Pengerusi ASEAN diserahkan kepada Filipina pada 1 Januari 2026.
Majlis penyerahan rasmi akan diadakan pada 28 Oktober.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

