Platform gaya hidup Islam terkemuka, ikhlas.com terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam ekosistem zakat digital negara apabila berjaya merekodkan kutipan zakat harta melebihi RM50 juta hasil kerjasama strategik dengan pelbagai institusi zakat negeri di seluruh Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, pihaknya kini menyasarkan kutipan zakat harta mencecah RM100 juta menjelang tahun hadapan bagi memperluaskan manfaat kepada golongan memerlukan menerusi inisiatif AirAsia Wakalah Fund.
“Dana ini diwujudkan hasil kutipan zakat korporat dan dana wakalah melalui platform ikhlas.com. Ia merangkumi empat komponen utama iaitu bantuan tunai kepada kumpulan berpendapatan rendah, bantuan pendidikan melalui program Ikhlas Untukmu, bantuan kecemasan bagi mangsa bencana serta penganjuran kelas asas fardhu ain percuma,” katanya.
Pencapaian berkenaan diumumkan sempena penganjuran edisi kedua Zakat Fest 2025, acara tahunan utama anjuran Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn. Bhd. yang bertujuan meraikan peranan zakat sebagai pemangkin keadilan sosial, pembangunan komuniti mampan serta sokongan terhadap ekonomi inklusif.
Dalam majlis itu, ikhlas.com turut mengumumkan peluasan jaringan kerjasama strategik dengan empat lagi institusi zakat negeri baharu iaitu Pusat Kutipan Zakat Pahang, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Menurut Ikhlas, kerjasama tersebut menandakan langkah penting dalam memperkasa impak zakat melalui transformasi digital yang lebih cekap, telus dan pantas.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua badan zakat negeri atas kepercayaan mereka terhadap ikhlas.com sebagai rakan strategik. Melalui penyeragaman sistem digital, kita dapat mempertingkatkan integrasi data, mengoptimumkan peruntukan dana serta memastikan pengagihan zakat dilaksanakan dengan lebih telus dan berkesan,” ujarnya.
Dengan penambahan kerjasama baharu itu, jumlah keseluruhan institusi zakat negeri yang bekerjasama dengan ikhlas.com kini meningkat kepada 10 buah negeri, menjadikan majoriti badan zakat di Malaysia telah melantik penyedia perkhidmatan gaya hidup Islam di bawah naungan Capital A itu sebagai amil rasmi bagi kutipan zakat harta dan lain-lain kategori.
Zakat Fest 2025 turut menjadi medan pengiktirafan kepada pihak korporat dan individu yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap pemberian zakat melalui penganugerahan Majikan Terbaik dan Pembayar Zakat Terbaik.
Anugerah tersebut diberikan kepada organisasi yang konsisten mengintegrasikan zakat ke dalam strategi perniagaan mereka, sekali gus menyumbang kepada rantaian bekalan yang beretika serta pembangunan komuniti setempat yang lebih sejahtera.

