SEBANYAK 30 peratus kawasan restoran mewah di tingkat 57 Menara 3 KLCC hangus dalam kebakaran, awal pagi ini.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafizan Hassan, hari ini.
Menurut Mohd Hafizan, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 6.41 pagi tadi.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 7.04 pagi sebelum operasi pemadaman selesai sepenuhnya pada pukul 8.45 pagi.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur turut menghantar jentera dari BBP Tun Razak dan BBP Hang Tuah dengan kekuatan 35 pegawai serta anggota ke lokasi kejadian.
“Kita melaksanakan operasi secara ofensif dengan menggunakan lif bomba bagi naik ke lokasi dan sistem pemadaman melalui wet riser untuk memadam kebakaran.
“Tiada kemalangan jiwa, mangsa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya.
Baca artikel lain: Tingkat atas Menara 3 KLCC terbakar
Mengulas lanjut, Mohd Hafizan berkata, anggota bomba menghadapi cabaran besar melibatkan lokasi kebakaran yang berada di aras tinggi.
Namun begitu, katanya, sistem keselamatan bangunan tersebut banyak membantu kelancaran operasi.
“Restoran berkenaan akan ditutup sementara sehingga siasatan selesai dijalankan oleh Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur.
“Punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya.
Terdahulu, bahagian atas Menara 3 KLCC dipercayai membabitkan premis makanan dan minuman mewah dilaporkan terbakar, awal pagi ini.
Kejadian yang turut tular di media sosial itu menunjukkan api sedang marak menjulang di bahagian atas Menara 3 itu.
Pada masa sama, kepulan asap tebal turut kelihatan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

