POLIS sedang mengesan pemandu Perodua Kembara yang disyaki memandu secara berbahaya hingga melanggar dua kenderaan sebelum melarikan diri dalam kejadian di Lebuhraya Persekutuan, 20 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat memaklumkan, pihaknya telah terkesan satu video tular di media sosial melibatkan kemalangan itu kira-kira pukul 7.45 malam semalam.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 6.10 petang, 20 Jun lalu.
Shamsudin berkata, Perodua Kembara yang disyaki dipandu warga tempatan berusia lingkungan 59 tahun itu memandu dari arah Shah Alam menghala ke Kuala Lumpur.
“Setibanya di tempat kejadian, kereta itu telah memandu secara berbahaya hingga berlaku pelanggaran dengan sebuah kereta dan motosikal lain.
“Pemandu Kembara itu kemudiannya telah melarikan diri dengan meninggalkan keretanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Shamsudin berkata, penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan telah dibawa ke Hospital Sunway bagi mendapatkan rawatan.
Katanya, pihak polis masih mengesan pemandu Perodua Kembara yang telah menghilangkan diri.
Beliau memberitahu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis ingin mengingatkan kepada semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak sebarang kejadian kemalangan.
“Pihak polis tidak akan berkompromi kepada pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan dan akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang,” jelas beliau.
Orang ramai yang melihat atau berada di lokasi kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Kumaran Murugaya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerusi talian 03-7966 2222 atau hadir ke balai polis berhampiran.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

