PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon ampun kerana tidak dapat bersama mengiringi keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ke Arab Saudi dan Bahrain untuk lawatan negara, pagi tadi.
Dalam hantaran di Facebook, Perdana Menteri turut mendoakan semoga keberangkatan Sultan Ibrahim dan delegasi dirahmati Allah.
Pada masa sama, beliau juga mendoakan keberangkatan Seri Paduka dikurniakan keselamatan, kesejahteraan dan kejayaan sepanjang lawatan negara itu.
“Merafak sembah dan menjunjung kasih atas keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi memulakan lawatan negara ke Arab Saudi dan Bahrain.
“Patik penuh yakin bahawa lawatan negara ini akan membawa limpahan manfaat serta pulangan yang terbaik buat rakyat dan negara,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Semalam, Anwar terpaksa membatalkan lawatan kerja beliau ke Pahang atas nasihat pasukan perubatan setelah Perdana Menteri mengalami sakit belakang, yang menyebabkan pergerakan terbatas.
Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Arab Saudi untuk lawatan negara mulai hari ini hingga 6 November depan.
Seri Paduka turut dijadual meneruskan lawatan negara ke Bahrain pada 6 November.
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang pada pukul 9 pagi tadi.
Baca artikel lain: Yang di-Pertuan Agong berangkat ke Arab Saudi, Bahrain untuk lawatan negara
Lawatan negara ke Arab Saudi mencatat sejarah sebagai lawatan negara pertama Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sejak kali terakhir dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong ketujuh, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 1984.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof hadir untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Sultan Ibrahim.
Semasa di Riyadh, Seri Paduka Baginda dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud di Istana Yamamah.
Keberangkatan Sultan Ibrahim ke Arab Saudi dan Bahrain akan diiringi paduka anakanda Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, serta Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Menteri Pengiring.
Selesai lawatan di Arab Saudi, Yang di-Pertuan Agong akan berangkat ke Bahrain atas persilaan Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa bagi Lawatan Negara yang julung-julung kali diadakan sejak hubungan diplomatik Malaysia-Bahrain terjalin pada 1974.
Sultan Ibrahim dan Raja Hamad menjalin persahabatan akrab sejak sekian lama, dengan Seri Paduka Baginda berkenan mengadakan lawatan rasmi ke Bahrain pada 2017 ketika menjadi Sultan Johor manakala Raja Hamad berkenan berangkat ke Kuala Lumpur pada 2024 bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

