YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Arab Saudi untuk lawatan negara, pagi tadi hingga 6 November depan.
Seri Paduka turut dijadual meneruskan lawatan negara ke Bahrain pada 6 November.
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang pada pukul 9 pagi tadi.
Lawatan negara ke Arab Saudi mencatat sejarah sebagai lawatan negara pertama Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sejak kali terakhir dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong ketujuh, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 1984.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof hadir untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Sultan Ibrahim.
Turut hadir, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Sebelum berangkat, Sultan Ibrahim menerima tabik Hormat Diraja daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat diketuai Mejar Muhammad Fikri Senan dengan diiringi tembakan meriam 21 das dan lagu Negaraku.
Baca artikel lain: Agong terima menghadap Perdana Menteri, dipersembah hasil Sidang Kemuncak ASEAN ke-47
Semasa di Riyadh, Seri Paduka Baginda dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud di Istana Yamamah.
Keberangkatan Sultan Ibrahim ke Arab Saudi dan Bahrain akan diiringi paduka anakanda Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, serta Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Menteri Pengiring.
Selesai lawatan di Arab Saudi, Yang di-Pertuan Agong akan berangkat ke Bahrain atas persilaan Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa bagi Lawatan Negara yang julung-julung kali diadakan sejak hubungan diplomatik Malaysia-Bahrain terjalin pada 1974.
Sultan Ibrahim dan Raja Hamad menjalin persahabatan akrab sejak sekian lama, dengan Seri Paduka Baginda berkenan mengadakan lawatan rasmi ke Bahrain pada 2017 ketika menjadi Sultan Johor manakala Raja Hamad berkenan berangkat ke Kuala Lumpur pada 2024 bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

