KERAJAAN akan terus memantau situasi perdagangan agar selari dengan pendirian terhadap isu Palestin dan perkembangan rundingan damai Palestin-Israel.
Demikian ditegaskan Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) mengenai situasi semasa perdagangan Malaysia dengan entiti global khususnya syarikat-syarikat multinasional (MNC).
Jelas kementerian itu, rentetan serangan Israel ke atas Gaza pada 2014, kerajaan telah memutuskan pada 20 Julai 2014 supaya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (pada ketika itu) membekukan pengeluaran Lesen Import dan Lesen Eksport ke Israel bagi semua syarikat tempatan, kecuali MNC.
Dari segi perdagangan katanya, kelulusan lesen import barangan yang berasal dari Israel dan eksport barangan ke Israel adalah tertakluk di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012 dan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2012.
“Kawalan ke atas barang-barang strategik pula adalah tertakluk di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010 yang selaras dengan obligasi antarabangsa Malaysia berkenaan keselamatan negara di bawah Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1540.
“Walau bagaimanapun, terdapat syarikat MNC yang melabur dan beroperasi di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, yang merupakan sebahagian daripada rangkaian bekalan global. Banyak negara, termasuk Israel, turut merupakan sebahagian daripada rangkaian tersebut.
“Justeru, amalan perdagangan syarikat-syarikat MNC berkenaan adalah di luar kawalan Kerajaan Malaysia,” jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Dasar Malaysia kekal konsisten
Wisma Putra menjawab soalan Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai langkah konkrit telah diambil susulan gesaan Perdana Menteri di Sidang Kemuncak Arab-Islam di DOHA agar tindakan punitif diambil terhadap Isreal.
Beliau turut menanyakan soalan sama ada seruan itu termasuk hubungan tidak langsung entiti Malaysia dan Israel melalui rantaian bekalan teknologi, perdagangan pihak ketiga atau kerjasama dalam sektor keselamatan dan siber.
Pada Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam yang berlangsung di Doha pada 15 September, Perdana Menteri bersama-sama para pemimpin Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sebulat suara mengecam tindakan ketenteraan serta kekejaman Israel yang berterusan serta menuntut agar Israel dipertanggungjawabkan di peringkat antarabangsa.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tindakan Israel yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan prinsip kemanusiaan sejagat tidak boleh dibiarkan.
Beliau turut menggesa agar masyarakat antarabangsa mempertimbangkan langkah-langkah punitif termasuk melalui pendekatan diplomatik dan sekatan ekonomi sebagai tekanan ke atas Israel supaya menghentikan tindakannya yang secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa.
Dalam pada itu Wisma Putra memberitahu, Malaysia berpendirian bahawa usaha secara kolektif perlu dilaksanakan bersama negara-negara anggota OIC, Liga Arab dan pertubuhan antarabangsa lain.
Ini katanya, bagi memastikan tindakan haram Israel mendapat hukuman yang tegas dan berkesan.
“Malaysia juga terus menyokong usaha untuk membawa Israel ke muka pengadilan di badan kehakiman antarabangsa.
“Dasar luar Malaysia adalah jelas, Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel. Dasar ini kekal konsisten dan Kerajaan Malaysia tidak akan menjalinkan hubungan ekonomi dengan pihak Israel,” katanya.

